Kes tipu pakej pelancongan: RM3 juta 'award' dikeluarkan tribunal

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM3 juta 'award' dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna (Tribunal) bagi tempoh 2016 hingga 31 Mei tahun ini, bagi kes penipuan pakej pelancongan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah 'award' tersebut melibatkan 1,057 kes difailkan pengguna dalam tempoh berkenaan membabitkan keseluruhan tuntutan berjumlah RM6.6 juta.

"Pihak syarikat yang menawarkan pakej pelancongan tersebut harus patuh dalam tempoh 14 hari dari tarikh award dikeluarkan atau diserahkan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) mengenai keberkesanan Tribunal dalam membantu rakyat bagi kes penipuan seperti pakej pelancongan.

Tribunal yang ditubuhkan sejak 15 November 1999 berperanan menyediakan saluran alternatif kepada pengguna, untuk menuntut hak secara tebus rugi dan menyelesaikan pertikaian dengan cara lebih mudah.

Saifuddin Nasution berkata bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini pula, tuntutan tebus rugi terhadap perkhidmatan agensi pelancongan mencatat jumlah pemfailan tertinggi melibatkan 202 kes selain pengubahsuaian rumah (196 kes), pembaikan kenderaan (112 kes), dan pendidikan (102 kes).

Katanya, sejumlah RM1.7 juta 'award' dikeluarkan Tribunal bagi tuntutan terhadap semua perkhidmatan berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai keperluan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak peguam bagi membantu pengguna dalam membuat tuntutan di Tribunal, Saifuddin Nasution berkata bantuan berkenaan dilihat lebih diperlukan selepas 'award' dikeluarkan oleh Tribunal.

Artikel Berkaitan:

"Apabila sesuatu award diberikan, pihak pengguna kena mendaftar keputusan Tribunal di mahkamah, barulah keputusan itu boleh dilaksanakan.

"Di situ, kadang-kadang pengguna merasakan terbeban dan tidak faham proses, kalau ada badan guaman, NGO yang nak ambil (membantu), di situ ada ruang di mana pengguna boleh dibantu," katanya.