Apa hukum jual beli durian secara timbang

Rata-rata di kebanyakan tempat, durian dijual secara timbang.
Rata-rata di kebanyakan tempat, durian dijual secara timbang.
A
A
A

BOLEH dikatakan topik berkaitan durian paling mencuri tumpuan ketika ini.

Malah berlaku di sesetengah kawasan, jalan sesak bukan kerana kemalangan tetapi rata-rata pemandu memberhentikan kenderaan kerana mahu membeli durian yang dijual di tepi jalan.

Selain jenis durian, rasanya dan harganya, isu tumpuan yang berkaitan durian ialah proses jual beli menggunakan timbangan.

Sesetengah pembeli berpandangan kaedah menjual durian secara timbangan seperti menindas pembeli kerana tidak semua isinya elok, malah kebiasaannya kulit lebih berat daripada isi.

Tidak hairanlah inisiatif seorang pemuda yang menjual durian tanpa kulit di Sintok Kedah diserbu peminat raja buah itu.

Bagi pembeli, durian yang dijual RM25 sekilogram berbaloi kerana sudah pasti pembeli tidak terkena durian yang buruk dan mengkal.

Topik jual beli durian secara timbang sudah dibangkitkan sebelum ini. Contohnya soalan berkenaan isu itu pernah diajukan kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tiga tahun lalu.

Berikut ialah soalannya dan jawapan Mufti Wilayah Persekutuan:-

Artikel Berkaitan:

Soalan

Assalamualaikum, tuan mufti. Adakah buah durian haram dijual mengikut sukatan kilogram kerana kulitnya lebih banyak dari isi?

Jawapan:

Waalaikumussalam, Kaedah menyebut: الأصل في العقود هو التراضي Maksudnya: Hukum asal dalam akad ialah keredaan kedua-dua belah pihak.

Dalam jual beli durian selalu yang menjadi masalah ialah apabila jual beli mengikut timbangan dan bukannya jenis dan kualiti durian itu. Justeru, berlakulah situasi contohnya isi durian yang mengkal (tidak masak), busuk dan rosak. Di sini, pembeli menjadi tidak reda kerana manfaat yang dibeli tidak diperolehi.

Situasi ini bertepatan dengan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW menegur penjual kurma yang meletakkan kurma yang kering di atas kurma yang basah untuk mengelabui pelanggan. Sabda Rasulullah SAW:

أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي Maksudnya: Apakah engkau sengaja tidak meletakkan yang basah itu di atas takut dilihat orang? Barangsiapa yang menipu maka bukan daripada kalanganku. Hadis riwayat Imam Muslim (102)

Justeru, digalakkan melakukan akad jual beli durian dengan cara yang lebih jelas. Contohnya, dengan membuka sebahagian durian itu terlebih dahulu diketahui isinya. Cara lain juga seperti yang dilakukan peniaga-peniaga hari ini dengan meletakkan buah di dalam bekas yang boleh dilihat oleh pelanggan. Dengan itu, pembeli dan penjual saling meredai dan hasil jualan juga diberkati. Wallahua’lam.