Projek nenas sumber pendapatan sampingan peneroka

Mazlan bersama Tun Daim dan pengurusan Felda pada majlis tersebut di Dewan Komuniti Felda Sungai Tengi. Foto: Unit Studio Felda
Mazlan bersama Tun Daim dan pengurusan Felda pada majlis tersebut di Dewan Komuniti Felda Sungai Tengi. Foto: Unit Studio Felda
A
A
A

SUNGAI TENGI - Projek Tanaman Nanas Millie Dilard 2 (MD2) bakal dilaksanakan di Felda Sungai Tengi bagi menampung pendapatan peneroka yang terjejas akibat kejatuhan harga komoditi sawit.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman berkata, LPP dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi) dipertanggungjawabkan untuk projek itu yang mampu memberi pulangan dalam jangka pendek.

"Inisiatif ini bertujuan menangani pendapatan peneroka akibat kejatuhan harga komoditi dan sekurang-sekurangnya peneroka ada pendapatan sampingan ketika menghadapi keadaan sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Tun Daim Zainuddin Bersama Warga Felda Wilayah Trolak di Felda Sungai Tengai di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Felda, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd dan Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Menurutnya, dua agensi tersebut di bawah Kementerian Industri Asas Tani sedia memberi cadangan dan pandangan membantu Felda selaku pelaksanan projek berkenaan.

"Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sedia memberi subsidi kepada projek ini namun mekanismenya akan diserahkan kepada Felda.

"Kolaborasi agensi di bawah kementerian memberi sokongan dari segi anak benih dan kepakaran serta projek ini nanti kita mahu dilancarkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebagai tanda keprihatinan kerajaan PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mazlan yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) berkata, projek tersebut sesuai dilaksanakan di ladang Felda Sungai Tengi yang kini dalam tempoh tanam semula.

“Projek ini diterima baik generasi kedua Felda dan dipersetujui Tun Daim yang mengadakan lawatan pertama ke tanah rancangan ini.

"Natijahnya ia akan memberi kebaikan kepada peneroka kerana projek ini beri pulangan dalam tempoh setahun," katanya.