17,855 aduan larangan merokok di premis makanan diterima

 Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semenjak pewartaan tempat larangan merokok yang telah diwartakan bermula Januari sehingga 2 Jun 2019 sebanyak 17,855 aduan diterima melalui panggilan telefon, aplikasi WhatsApp dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sementara itu bagi aktiviti penguatkuasaan pendidikan sebanyak 29,650 amaran bertulis telah dikeluarkan.

"Di mana 26,357 adalah amaran kepada tuan punya premis yang gagal meletakkan tanda larangan merokok dan 3,293 amaran kepada individu yang masih merokok di tempat makan," katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) yang meminta Dr Dzulkefly menyatakan berapa aduan dan saman terhadap kesalahan merokok di premis makanan telah dikeluarkan sejak penguatkuasaannya.

Tambah beliau, tiada kompaun dikeluarkan bagi tempoh penguatkuasaan pendidikan di tempat makan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gubal Akta Kawalan Tembakau dalam masa terdekat: Dzulkefly

Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan penuh tetap dijalankan di kawasan larangan merokok lain yang telah diwartakan.

"Pematuhan kepada larangan merokok ini didapati telah semakin meningkat. Rata -rata pemilik premis telah meletakkan tanda larangan dan bilangan perokok yang mematuhi larangan merokok telah semakin baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, PPKHT 2004 yang bermula pada 1 Januari 2019 telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat.

Penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan tetap akan dikuatkuasakan serta merta pada 1 Januari 2020.

Sementara tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok akan dilanjutkan sehingga akhir Disember tahun ini.