Culik: tak jejas hubungan ketenteraan Malaysia, Indonesia

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berucap pada Majlis Konvokesyen Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Ke-52 di Wisma Perwira ATM hari ini. Foto: Bernama
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berucap pada Majlis Konvokesyen Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Ke-52 di Wisma Perwira ATM hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejadian lima rakyat Malaysia di Sarawak yang didakwa diculik Tentera Nasional Indonesia (TNI) di hutan Wong Rangkai berhampiran sempadan Serian-Kalimantan pada 11 Disember lepas tidak akan menjejaskan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, sebarang masalah akan dibincangkan menerusi meja rundingan secara baik.

"Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan dua hala yang erat dalam semua bidang khasnya pertahanan.

"Kerjasama antara dua negara amat baik sekali dan kejadian itu tidak akan menimbulkan masalah dalam hubungan antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Konvokesyen Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) ke-52 di sini hari ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan lima rakyat tempatan berusia 15 hingga 64 tahun, ditahan di hutan berkenaan yang terletak kira-kira 400 meter dari sempadan Serian-Kalimantan.

Menurut laporan itu, mereka ditahan beberapa lelaki berpakaian tentera dan bersenjata atas dakwaan menebang pokok di kawasan hutan berkenaan namun dibebaskan beberapa hari kemudian setelah rundingan dilakukan di kawasan sempadan.

Difahamkan, Malaysia telah menghantar satu nota protes ke Jakarta yang mengutuk serangan dan penahanan rakyatnya oleh pasukan keselamatan Indonesia. Nota protes itu dihantar melalui kedutaan Indonesia di sini pada Jumaat lepas.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohamad menyampaikan sijil kepada 400 orang daripada 1,162 graduan bakal pesara dan veteran tentera yang menerima Diploma Program Recognition Prior Experiental Learning (RPEL), Sijil Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat Berlesen (Yayasan Peneraju-Perhebat) dan Latihan Peralihan Perhebat pada majlis konvokesyen hari ini.

Mohamad berkata sejak 1994 hingga kini, Perhebat telah melatih 295,102 orang melalui Latihan Peralihan yang merupakan satu inisiatif khas kerajaan.- Bernama