Sunway Onsen Suites mengintegrasikan kolam air panas semula jadi dalam kawasan pembangunan

A
A
A
IPOH, Perak sangat istimewa kerana mempunyai landskap yang indah dihiasi kehijauan tropika dan bukit batu kapur berusia 260 juta tahun. Selain itu, perbandaran Ipoh turut terkenal dengan jolokan destinasi makanan paling ideal.

Faktor-faktor itu secara tidak langsung memberikan nilai tambah kepada sebilangan ramai masyarakat untuk memiliki hartanah di sana.

Sejak kebelakangan ini, Ipoh mendapat perhatian antarabangsa sebagai destinasi pelancongan dan destinasi pilihan persaraan yang merupakan inisiatif dan usaha bersepadu oleh pihak berkepentingan awam serta agensi swasta yang mahu melihat bandar raya itu terus maju dan makmur.

Ipoh mendapat pujian kerana menjadi salah satu destinasi persaraan yang menawarkan pemilikan hartanah pada harga berpatutan di dunia dan destinasi terbaik di Asia. Malah, perbandaran itu telah diiktiraf oleh New York Times sebagai salah satu satu destinasi kunjungan popular di dunia.

Mengorak langkah

Melihat kepada potensi Ipoh, syarikat Sunway City Ipoh komited mengorak langkah dengan membangunkan projek Sunway Onsen Suites yang menggabungkan unsur-unsur terbaik merangkumi pendidikan, runcit, hospitaliti, taman tema, kediaman dan komersial untuk penjanaan nilai ekonomi.

Pengarah Eksekutif Sunway City Ipoh, Wong Wan Wooi berkata, Sunway Onsen Suites adalah sebahagian daripada pelan induk Sunway City Ipoh yang dibangunkan oleh Sunway Property di atas tapak berkeluasan 540 hektar.

"Kawasan asal Sunway City Ipoh merupakan kawasan hutan dan setinggan yang dibangunkan. Selepas dibangunkan dan melalui transformasi landskap, Sunway City Ipoh kian dikenali.

"Sunway City Ipoh diilhamkan pada tahun 1995 dan kini merupakan sebuah perbandaran berkelas dunia dengan dua buah resort iaitu Banjaran Hotsprings Retreat dan The Lost World of Tambun," katanya.
Artikel Berkaitan:


Projek inovasi

Wan Wooi berkata, Sunway Onsen Suites ialah projek inovasi terbaharu oleh Sunway Property yang diiilhamkan untuk menjadi sebuah suite perkhidmatan pertama di Asia yang mengintegrasikan kolam air panas semula jadi ke dalam kawasan pembangunan.

Menurutnya, projek unik itu terdiri daripada tiga blok menara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM400 juta.

"Kami menjangkakan blok pertama akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun selepas pelancaran. Harga unit-unit Sunway Onsen Suites bermula daripada RM392,600.

"Terdapat tiga pilihan bagi suite perkhidmatan tersebut, iaitu studio dengan dua bilik tidur dan tiga bilik tidur yang berkeluasan antara 592 kaki persegi hingga 1,184 kaki persegi. Terdapat juga enam vila mewah iaitu Onsen Villas, denga keluasan bermula 2,712 kaki persegi.

"Komponen utama bagi pembangunan tersebut ialah sebuah kawasan halaman di tingkat podium dikelilingi pelbagai kemudahan. Kemudahan itu termasuklah kolam air panas semula jadi atau onsen, kolam renang infiniti, dewan pelbagai guna, gimnasium, bilik-bilik sauna dan taman podium," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, pembangunan itu juga mempunyai pintu masuk khas untuk para penghuni dan lobi utama yang dikelilingi kehijauan laluan semula jadi.

"Dengan mengguna pakai model perniagaan unik Sunway iaitu bina, miliki dan operasi, aras di tingkat tujuh hingga 15 di Sunway Onsen Suites akan diuruskan oleh Sunway Lost World Hotel iaitu khusus untuk pelabur yang mahukan pelaburan tanpa sebarang kerumitan.

"Projek ini terletak dalam kawasan pembangunan bersepadu dengan GDV bernilai RM2 bilion merangkumi kawasan seluas 12.4 hektar terdiri daripada Lost World Mall, pusat perubatan, penempatan dengan kemudahan kolam air panas serta komponen pendidikan tambahan," katanya.

Pelaburan ideal

Sunway Onsen Suites menawarkan kemudahan urban terbaik apabila kesemuanya boleh didapati dalam sebuah kawasan perbandaran bersepadu yang dikelilingi alam semula jadi.

Wan Wooi berkata, bagi pelabur yang mahu merebut peluang transformasi bandar Ipoh ke arah sebuah pusat tumpuan pelancongan bertaraf dunia, Sunway Onsen Suites merupakan pelaburan yang ideal.

"Seiring dengan pengiktirafan Ipoh sebagai destinasi pelancongan antarabangsa serta salah satu daripada bandar persaraan terbaik di dunia, seramai 7.6 juta pelancong domestik direkodkan telah melawat Perak pada tahun 2018. Malah merupakan satu kawasan dalam Negeri Perak yang mencatatkan kedatangan pelancong tertinggi di Malaysia.

"Ia adalah kenaikan sebanyak 5.7 peratus berbanding tahun 2016, di mana seramai 7.2 juta pelancong telah melawat negeri itu. Perak turut merekodkan kenaikan pelancong yang membuat lawatan sehari daripada 9.58 juta kepada 12.47 juta pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya," katanya yang merujuk kepada rekod diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau berkata, seiring dengan trend kemasukan pelancong itu, bermula tahun 2018 Sunway Property telah menyiapkan pembangunan tambahan sebanyak 20 unit vila di The Banjaran Hotsprings Retreat dan taman tema Luminous Forest di Lost World of Tambun sebagai tarikan pada waktu malam.

Bertaraf dunia

Pada tahun ini, Wan Wooi berkata, Sunway akan terus memperluaskan penawaran pelancongannya.

"Kami sedang giat membina sebuah tarikan terbaharu di Lost World of Tambun yang dijangka siap pada September 2019," katanya.

Tambahnya, tarikan terbaharu bagi Lost World of Tambun bertaraf dunia dengan taman air bertingkat baharu yang mempunyai benteng hujan, gelongsor air dan kolam bertingkat.

"Tarikan terbaharu itu turut mengetengahkan terowong sepajang 100 meter iaitu Adventure River yang menawarkan pengalaman menakjubkan kepada pengunjung," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya akan terus menyokong usaha-usaha pelancongan negeri Perak pada tahun-tahun akan datang menerusi pembangunan produk-produk pelancongan dan kerjasama aktif dengan badan-badan promosi pelancongan negeri.

Pelaburan baharuWan Wooi berkata, Sunway Property akan membuat pelaburan tambahan bernilai RM4 bilion di Sunway City Ipoh dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.

"Kami telah menyiapkan kira-kira 70 peratus daripada sejumlah 540 hektar pembangunan dan telah melabur sebanyak RM700 juta setakat ini.

"Ia adalah bagi melengkapkan kemudahan sedia ada yang telah kami bina di Sunway City Ipoh iaitu 1,400 unit kediaman bagi projek Sunway College Ipoh dan 174 unit bilik untuk projek Sunway Lost World Hotel dan Lost World of Tambun.

"Projek-projek yang akan dibangunkan ialah Sunway Medical Centre Ipoh, perluasan kampus Sunway College, kediaman dengan kemudahan kolam air panas, pusat beli-belah dan pembangunan di atas bukit,” katanya.