Ibu dipercayai abai tiga anak serah diri

Ibu kepada tiga kanak-kanak di Padang Setengge, Hulu Terengganu yang dipercayai terabai telah tampil menyerah diri kepada pihak polis. Gambar kecil: Mohd Adli
Ibu kepada tiga kanak-kanak di Padang Setengge, Hulu Terengganu yang dipercayai terabai telah tampil menyerah diri kepada pihak polis. Gambar kecil: Mohd Adli
A
A
A

HULU TERENGGANU - Wanita berstatus ibu yang dipercayai mengabaikan tiga anak kandungnya berusia enam hingga 12 tahun di Padang Setengge, di sini telah tampil menyerah diri kepada pihak polis, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek berusia 32 tahun itu datang menyerah diri seorang diri setelah mengetahui dia sedang diburu polis.

"Suspek dipercayai terlibat dalam kes mengabaikan anak-anaknya sendiri lebih tiga hari telah datang serah diri kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Susulan itu, tangkapan dibuat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kes pengabaian kanak-kanak dan wanita ini juga tidak mempunyai rekod lampau. Suspek direman tiga hari sehingga 10 Julai 2019.

"Kes akan dirujuk ke pejabat pendakwaraya hari ini," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Adli berkata, buat masa ini, tiga mangsa terlibat masih berada di Taman Sinar Harapan di Kuala Terengganu di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun sehingga kini belum ada ahli keluarga datang menuntut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik terabai diselamatkan JKM

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan laporan tiga beradik berusia 12, 8 dan 6 tahun berjaya diselamatkan JKM pada 3 Julai lalu setelah dipercayai jadi mangsa pengabaian ibu kandung sendiri.

Kanak-kanak berkenaan disyaki ditinggalkan bersendirian tanpa makanan serta sebarang pengawasan selama lebih daripada tiga hari dan ibu mereka berstatus ibu tunggal dikatakan telah pun melarikan diri ke Kuala Lumpur mengikut teman lelaki.