Musim saman fitnah

A
A
A

MUTAKHIR ini, begitu kerap kita mendengar mengenai tindakan saman fitnah yang dilakukan oleh para selebriti dan politikus di negara ini, hinggakan dalam kalangan orang awam juga turut berminat untuk melakukan saman fitnah. Saman fitnah telah menjadi satu cara utama untuk membersihkan diri yang kononnya difitnah. Namun, adakah begitu mudah untuk saman fitnah dilakukan dan dimenangi?

Fitnah boleh dibahagikan kepada dua jenis perundangan iaitu perundangan sivil (saman fitnah) dan perundangan jenayah. Jika seseorang individu merasakan diri beliau telah difitnah, maka beliau boleh mengambil tindakan saman sivil (saman fitnah) untuk membersihkan nama. Pun begitu, beliau juga boleh membuat laporan polis mengenai perihal fitnah terhadap dirinya untuk disiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan. Individu yang didapati bersalah di bawah seksyen 499 ini, boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau didenda.

Pada asasnya, objektif utama saman fitnah adalah untuk memberikan hak kepada setiap individu untuk melindungi nama baik dan reputasi beliau daripada dicemari dengan tuduhan tidak berasas atau fitnah.

Apabila melibatkan isu fitnah, mahkamah akan terikat kepada prinsip di bawah prinsip common law dan juga seperti yang telah termaktub dalam Akta Fitnah 1957 serta tatacara seperti di bawah Aturan 78, Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Dalam mempertimbangkan saman fitnah, mahkamah akan melihat kepada tiga elemen utama sesuatu tuduhan fitnah itu. Pertama, plaintif (orang yang menyaman) perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa ungkapan yang dikeluarkan oleh defendan (orang yang disaman) adalah fitnah. Kedua, fitnah tersebut telah disiarkan atau disebarkan kepada pihak ketiga. Dan ketiga, plaintif perlu menunjukkan bahawa beliau telah mengalami kerugian akibat daripada kenyataan fitnah tersebut. Jika tiga elemen umum ini tidak dipatuhi, sudah tentu amat sukar untuk saman fitnah tersebut berjaya.

Hari ini kita melihat semakin ramai yang seakan-akan ‘obses’ dengan idea saman fitnah ini. Pantang silap, maka akan terus diugut untuk mengambil tindakan saman fitnah. Dalam kalangan selebriti di negara ini ada yang ‘rakus’ dengan saman fitnah. Bukanlah bermaksud tidak perlu untuk dilakukan saman fitnah ini, namun kita perlu faham bahawa saman fitnah bukan satu-satunya cara untuk membersihkan nama.

Ramai juga yang begitu berkehendakkan saman fitnah ini dilakukan kerana kononnya jika menang kes tersebut mereka akan dapat mengaut jumlah pampasan yang tinggi seandainya mahkamah membenarkan tuntutan saman fitnah yang difailkan. Sebagai seorang selebriti, sudah tentu nama baik yang dibawanya adalah aset yang sangat bernilai.

Namun, tidak semuanya indah mengenai saman fitnah ini. Bukan semua orang yang kita saman itu berduit hendak membayar pampasan.

Artikel Berkaitan:

Melihat kepada perkembangan kes-kes saman fitnah di negara ini, kita perlu menyentuh mengenai kebebasan bersuara yang kerap disalahgunakan. Walaupun kebebasan bersuara adalah salah satu kebebasan yang dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun hak ini bukanlah satu hak mutlak. Secara kasarnya, jika anda mahu bersuara secara bebas, maka anda juga perlu bersedia menerima kesannya.

Hak kebebasan bersuara seringkali disalah guna dengan membuat pelbagai fitnah kepada orang lain sedangkan hak kebebasan bersuara ini perlu diamalkan dengan berhemat. Perkembangan teknologi pada hari ini seperti media sosial telah membuatkan kata-kata fitnah begitu banyak disebarkan. Kita bebas menulis tentang orang lain tanpa memikirkan kesannya. Andai tersalah tulis, fitnah jadinya.

Walaupun begitu, ramai juga yang masih kurang faham mengenai saman fitnah. Ramai yang terkeliru dan menyangkakan, saman malu itu wujud di Malaysia. Apabila mereka rasa dimalukan, lantas mereka mahu membuat saman malu. Perlu diketahui, tiada istilah saman malu dalam aspek perundangan negara ini!

Jika seseorang mengeluarkan kenyataan yang benar tetapi ia memalukan anda, anda tidak boleh mengambil tindakan di bawah saman fitnah kerana perkara itu bukan berbaur fitnah. Sebagai contoh, baru-baru ini kecoh di Twitter mengenai seorang blogger atau instafamous yang ingin mengambil tindakan saman fitnah kepada pengguna Twitter yang lain hanya kerana beliau melabelkan blogger tersebut sebagai ‘riak’. Ini adalah satu fahaman konsep saman fitnah yang sangat salah.

Sepanjang pengalaman saya sendiri, ramai dalam kalangan klien saya yang hendak mengambil tindakan saman fitnah, tetapi selepas dianalisa kenyataan yang dikatakan berbaur fitnah tersebut, ia langsung tidak boleh dianggap sebagai fitnah. Ini hanya akan membuang masa, mengganggu proses mahkamah dan membazirkan wang untuk membayar peguam.

Kita perlu berbalik kepada objektif asal saman fitnah, iaitu untuk melindungi nama baik atau reputasi seseorang daripada dicemari dengan kenyataan yang tidak benar. Nasihat saya, sebelum diambil sebarang tindakan saman fitnah, pastikan kenyataan tersebut benar-benar bersifat fitnah. Jika sekadar kata-kata yang bersifat mengeji dan menghina, itu bukan fitnah dan sudah pasti tidak akan menang di mahkamah nanti.

Hari ini kita melihat semakin ramai yang seakan-akan ‘obses’ dengan idea saman fitnah ini."