X

Kindly register in order to view this article
!

Apa masalah pendidikan agama?

A
A

BILA kita ingin mencari diagnosis tentang penyakit masyarakat, kita biasanya akan mencari prof-prof untuk berbuat demikian. Para prof ini pula akan membuat penyelidikan kuantitatif dan kualitatif berdasarkan teori-teori akademik yang terkenal.

Penyelidikan mesti dapat pengiktirafan antarabangsa supaya naik KPI dan ranking universiti. Ranking dan diagnosis penyakit sosial tidak boleh berpisah. Penyelidikan menjana dana!

Bagi ulama-ulama parti pula, mereka akan salahkan semuanya pada parti lawan. Mereka akan berusaha buat apa yang majoriti rakyat nak supaya mereka menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Apa yang majoriti rakyat nak?

Kalau rakyat Muslimin, pasti majoriti akan sokong hudud. Tak perlu para prof buat penyelidikan. Buat sahaja demonstrasi jalanan untuk test market. Kalau ramai sokong hudud, maknanya hududlah penyelesaian semua masalah.

Tetapi mungkin terdapat seorang mahasiswa membuat keputusan untuk tidak mengikut arus perdana para prof dan ulama parti politik. Mahasiswa ini memilih untuk mencari diagnosis Nabi SAW sendiri tentang penyakit masyarakat.

Baginya, Nabi Muhammad SAW adalah nabi untuk masa dulu, kini dan akan datang. Takkanlah Nabi SAW tidak tahu penyakit umat zaman milenium ini. Mahasiswa yakin dengan imannya dengan ilmu Nabi SAW.

Lalu beliau pun membaca sebanyak mungkin hadis-hadis Nabi SAW walaupun berat bacaan. Tiba-tiba terbaca satu hadis yang sangat menarik perhatian beliau. Dalam hadis ini, Nabi memberi amaran bahawa umat Muslimin akan selangkah demi selangkah, sehasta demi sehasta ikut jejak Yahudi masuk ke lubang biawak.

Mengapa hadis ini begitu menarik perhatiannya? Kerana hadis ini menceritakan nasib umat Muslimin pada masa depan. Nabi tidak sebut masa spesifik tetapi ini meninggalkan tanda tanya sejauh manakah umat Muslimin sekarang terikut jejak langkah Yahudi?Mencabar

Hadis ini mencabar mahasiswa untuk memikirkan soalan berat ini iaitu: Apakah langkah-langkah Yahudi yang membawa ke lubang biawak? Bukankah kita umat yang memiliki al-Quran? Kita membaca al-Quran setiap hari. Ulama masih ramai. Parti Islam pun masih kuat lagi. Kita pula banyak berdemonstrasi anti-Israel. Bagaimana mungkin kita terikut langkah-langkah Yahudi?

Seorang tuan guru agama cuba meringankan usaha berfikir mahasiswa ini: "Langkah-langkah Yahudi ialah gerakan LGBT, usaha jatuhkan Institusi Raja, usaha hapuskan hak istimewa Melayu dan Bumiputera menghina ulama dan tidak patuh pada hukum wajib undi Parti Islam!"

Mahasiswa pun tanya soalan: "Apakah maksiat paling besar?" Tuan guru agama memandang tajam ke mata mahasiswa seperti tuan memandang hambanya, lalu menitahkan hukum agama: "Rakyat biasa wajib wala' dan patuh pada tuan guru agama seperti pengikut wala' kepada Nabi SAW kerana tuan guru tahu apa yang tersirat. Kamu hanya nampak yang zahir."

Mahasiswa ini pun terfikir: "Betul kata tuan guru. Siapalah aku! Aku hanya pelajar biasa. Tidak berkaramah. Tuan guru mempunyai pengikut yang ramai yang telah berbai'ah kepadanya. Mesti dia tahu banyak perkara yang tersirat. Tak payahlah aku susah payah baca kitab-kitab hadis. Tuan guru lebih tahu!"

Akhirnya, mahasiswa ini tidak lagi membaca kitab-kitab hadis. Tanggungjawab menuntut ilmu dan berfikir tinggi sudah diserahkan kepada tuan guru. Kalau dia menuntut ilmu pun, dia hanya sekadar ulang dan ulang apa yang tuan guru kata.

Dia hanya wajib penuhi kewajiban wala' dan bai'ah untuk keselamatan dunia dan akhirat. Wala' dan bai'ah telah membebaskannya daripada berfikir tinggi, membaca kitab-kitab ilmiah tinggi. Kalau umat makin rosak pun, dia sudah tahu puncanya iaitu umat tidak mengikut nasihat tuan guru agama.

Umat sesat kerana memilih liberalisme yang mengutamakan kebebasan akal individu daripada wala' kepada tuan guru dan budaya hedonistik barat.

Mahasiswa ini bermula dengan semangat berfikir kritis tetapi akhirnya, dia tersungkur. Mengapa? Kebenciannya pada barat dan liberalisme dijadikan alasan bila dia tidak sanggup lagi meneruskan usaha berat untuk berfikir lebih jauh. Mudah untuk mengkambinghitamkan, mudah untuk wala' tetapi usaha berfikir demi mencari kebenaran adalah penyeksaan bagi majoriti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus