‘Tentera wolbachia’ perangi denggi

236365
236365
A
A
A

APABILA Kementerian Kesihatan menggunakan kaedah pelepasan nyamuk aedes mengandungi bakteria wolbachia secara berperingkat di seluruh negara bagi mengawal dan menangani kes denggi kelmarin, ia menjadi satu revolusi dinamik dan berkesan.

Kaedah tersebut membuktikan kementerian telah memahami kitaran penyebaran wabak denggi dan tidak mahu lagi mengatasinya dengan cara konservatif iaitu menggunakan racun serangga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti kes denggi di Selangor sejak Mac 2017 yang menunjukkan penurunan kes sebanyak 50 hingga 80 peratus setiap lokaliti.

Taktik nyamuk lawan nyamuk itu menyaksikan ‘tentera wolbachia’ akan berperang dengan nyamuk aedes untuk tujuan memastikan kitaran penyebaran wabak denggi terganggu dan seterusnya mengehadkan penyebarannya.

Pendekatan itu pastinya mengundang variatif reaksi termasuk melihat ia sebagai satu ‘perang biologi’ yang menghadirkan pelbagai implikasi. Ada yang tertanya: ‘Apa akan jadi pada ‘tentera wolbachia’ selepas nyamuk-nyamuk aedes itu ‘dibunuh’?

Apakah situasinya sama dengan lambakan burung gagak di Klang selepas semua ulat yang memusnahkan tanaman kopi di Selangor kira-kira 100 tahun lalu dimusnahkan secara perang biologi?

Usaha Kementerian Kesihatan membasmi wabak denggi itu adalah realiti yang bergerak seiring peningkatan kes demam denggi yang terus meragut nyawa. Kesungguhan kementerian menanganinya bukan satu episod meraih perhatian melainkan kombinasi inovasi hebat dan terkini.

Solusi bukan datang sekelip mata dan implikasi kaedah baharu itu tidak boleh dilihat akan memberi kesan drastik. Mungkin 180 bekas yang setiap satunya mempunyai 150 bekas kecil berisi telur nyamuk mengandungi wolbachia akan dibekalkan kepada 11 lokaliti terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada fasa pertama program itu memberi sinar baharu kepada usaha memerangi denggi.

Artikel Berkaitan:

Peranan program baharu itu juga membuktikan kementerian peka dengan aplikasi yang bersesuaian dengan keperluan semasa. Ia membuka kepada respons dan penglibatan profesional dalam menilai keberkesanannya. Apa yang dilakukan Kementerian Kesihatan itu adalah usaha terbaik ketika ini.