Tun M perlu lupakan hasrat ajak parti Melayu sertai Bersatu

Tun Dr Mahathir Mohamad, (gambar kecil, Mustapha).
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan untuk melupakan hasratnya mengajak semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai parti berkenaan.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pelawaan Dr Mahathir itu dilihat tidak ikhlas dan mempunyai makna di sebaliknya.

Beliau berkata, tidak dinafikan kenyataan Dr Mahathir bahawa orang Melayu kini sudah berpecah kepada enam parti adalah benar tetapi pelawaan beliau untuk penyatuan orang Melayu itu dilihat hanya untuk kepentingan dirinya.

Menurutnya, Dr Mahathir hanya mahu mempertahankan kedudukan beliau sebagai perdana menteri dan dilihat cuba menyekat kemaraan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dari mengambil alih tempatnya.

"Dr Mahathir kini berada dalam keadaan tertekan serta terdesak untuk mendapat sokongan terhadap parti Bersatu khususnya kerana dia tahu gerakan Anwar dan PKR yang didukung DAP sedang berusaha untuk mengadakan sesuatu yang luar biasa seperti undi tak percaya kepada beliau di Parlimen.

"Beliau dah nampak gerakan ini dan merasakan Bersatu tidak kuat... Mahu tak mahu, beliau terpaksa tawarkan kepada parti-parti lain termasuk UMNO untuk bersama dalam partinya, "katanya.

Mustapha berkata, cukuplah penyatuan orang Melayu dengan parti Melayu di negara ini iaitu UMNO dan PAS.

"Tak perlu mana-mana parti untuk 'bersatu' dengan Bersatu.

"UMNO akan fokus kepada kerjasama atau ta'awun dengan PAS dan tidak berhasrat mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti lain selain parti Islam itu...Dr Mahathir boleh lupakan saja hasrat beliau, UMNO tak minat langsung dengan tawaran tersebut," katanya.

Beliau berkata, jika terdapat di kalangan pemimpin UMNO yang cuba untuk menjual parti dengan tawaran tersebut, golongan itu akan ditentang habis-habisan oleh ahli UMNO di seluruh negara.

"Kalau ada pemimpin UMNO yang tak tahan iman itu adalah kelemahan mereka bukan kelemahan parti...kita akan tentang habis-habisan," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu, selain menegaskan penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.​​

Sementara itu, seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Rahman menyifatkan penyatuan yang dimaksudkan Dr Mahathir sebagai penyatuan yang perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, dalam keadaan politik menggugat perlu dipercepatkan proses penyatuan perjuangan orang Melayu tidak kira dalam apa cara sekalipun.

"Semua komponen parti politik orang Melayu perlu mencari satu jalan untuk bersatu semula. Namun prosesnya terserah kepada kepimpinan....Adakah UMNO masuk Bersatu atau Bersatu masuk UMNO, 'siapa telan siapa', itu terserah. Apa yang penting Melayu bersatu," katanya menyifatkan pelawaan Dr Mahathir sebagai tindakan orang lama yang matang dalam berpolitik.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia