Jualan hasil tenunan melebihi RM300,000 setahun

Bekas banduan yang memiliki kemahiran menenun meneruskan kerjaya itu selepas dibebaskan. (Gambar kecil, Mohd Yusoff)
Bekas banduan yang memiliki kemahiran menenun meneruskan kerjaya itu selepas dibebaskan. (Gambar kecil, Mohd Yusoff)
A
A
A

BENTONG - Istilah melikas, menerai, menganing, menyusuk mungkin agak asing buat kita, namun tidak bagi 73 banduan lelaki di Penjara Bentong, Pahang, yang telah menguasai kemahiran menenun kain.

Lebih unik dan menarik lagi, hasil kerja seni halus serta berkualiti berkenaan diberikan nama sebagai kain Tenun Pahang Diraja yang menjadi pilihan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai persalinan baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.

Kain tenun itu adalah ilham baginda sendiri dan dihasilkan oleh penghuni Penjara Penor serta Penjara Bentong, Pahang.

Menurut Ketua Unit Vokasional Industri, Penolong Penguasa Penjara (PPP) Mohd Yusoff Baharum, kemahiran menenun antara salah satu daripada tujuh bengkel kemahiran yang disediakan untuk penghuni di penjara itu.

“Bengkel tenunan ini dimulakan pada 2010 dengan hasil jualan sekitar belasan ribu ringgit sahaja. Kemudian tahun berikutnya meningkat kepada RM50,000. Pada 2016, hasil tenun mencapai jualan RM187,000.

“Pada 2017 pula jualan sebanyak RM259,000 dicatatkan dan tahun lalu pula sebanyak RM325,000. Tahun ini kita sasarkan mencatatkan jualan RM360,000,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Penjara Bentong, baru-baru ini.

Mohd Yusoff berkata, Penjara Bentong bertuah apabila berjaya menyiapkan kira-kira 50 helai tempahan eksklusif oleh Raja Permaisuri Agong.

Sementara itu, bagi Ketua Bahagian Pemulihan dan Rawatan, Penguasa Penjara (PP) Mohd Marzuki Ibrahim, bidang kemahiran yang diajar di Penjara Bentong berkenaan terutamanya tenun berjaya memupuk sikap sabar penghuni.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bukan mudah untuk menghasilkan sehelai kain tenun kerana kadang kala proses berkenaan mengambil masa selama sebulan.

“Banduan yang berada di peringkat kemahiran ini merupakan mereka yang sudah melalui dua tapisan iaitu fasa satu bagi pembentukan disiplin dan fasa dua pula program halaqah.

“Manusia memerlukan sesuatu untuk isi masa la-pang, jadi di fasa ketiga menyertai bidang kemahiran ini mereka diterapkan dengan nilai sabar,” katanya.

Lapan bekas banduan sambung kerjaya sebagai penenun.

Menurut Mohd Yusoff, penghuni yang terpilih untuk melengkapkan diri dengan kemahiran tenun berkenaan juga benar-benar bertuah kerana rata-rata daripada mereka yang dilatih mengambil masa kurang dari enam bulan untuk mahir berbanding kursus yang ditawarkan di luar selama tiga tahun.

“Tenun dari penjara di Pahang (Penor dan Bentong) adalah tenun terbaik di negeri ini. Malah pasarannya memang sentiasa ada dan kebanyakan hasil penghuni berjaya menarik hati Raja Permaisuri Agong," katanya.

Menurutnya, sejak 2016 hingga kini seramai lapan bekas penghuni yang memiliki sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dalam kemahiran tenunan telah dihantar ke Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja dan diberikan gaji minima sebanyak RM1,200.

“Kemahiran tenun yang mereka peroleh di sini ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin kerana 10 tenaga pengajar mahir terdiri daripada kakitangan penjara sendiri telah menimba banyak pengalaman dalam kemahiran berkenaan.

“Tenaga pengajar di sini berpengalaman luas kerana sudah banyak menimba ilmu tenunan di Vietnam, Thailand, Indonesia serta Brunei dan kemahiran itu dikongsi dengan para banduan,” katanya.