Mahasiswa OKU berjiwa besar

Muhammad Izzat
Muhammad Izzat
A
A
A
BATU PAHAT– Lumpuh anggota kaki dan tangan sejak dilahirkan tidak menjadi penghalang kepada seorang mahasiswa baharu diploma di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh untuk mencapai cita-citanya sebagai pakar bidang teknologi maklumat.

Muhammad Izzat Hanafi Suhaili, 18, yang juga bekas pelajar pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong, Muar, berkata, walaupun berstatus orang kelainan upaya (OKU), hasratnya untuk menyambung pengajian di UTHM tidak pernah terpadam.

"Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian di UTHM dan selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, saya terus memilih UTHM sebagai pilihan pertama bagi melanjutkan pelajaran di peringkat diploma.

"Saya memilih belajar di UTHM kerana universiti ini sememangnya mempunyai tenaga pengajar yang profesional dalam bidang teknologi maklumat dan di sini (UTHM), saya boleh mengejar cita-cita saya sebagai pakar dalam bidang teknologi maklumat satu hari nanti," katanya semasa Minggu Transformasi Mahasiswa UTHM, baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga mengakui bukan mudah untuk OKU seperti dirinya untuk menyambung pengajian di universiti kerana dia sentiasa memerlukan bantuan orang lain untuk menjalani kehidupan seharian kerana ketidakupayaan kaki dan tangannya itu.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, dia telah dimaklumkan bahawa UTHM telah menyediakan kemudahan fasiliti yang lengkap kepada golongan OKU bagi memudahkan urusan masing-masing terutama untuk ke kuliah.

Kenyataan ini turut disokong oleh Pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM, Profesor Madya Dr Zaidi Embong yang juga OKU dan menurutnya, UTHM Kampus Cawangan Pagoh telah menyediakan kemudahan 'mesra OKU' agar golongan ini dapat belajar dengan selesa sehingga tamat pengajian.

"Pihak UTHM dan warganya sebenarnya sangat prihatin terhadap golongan seperti kami, ditambah pula dengan kewujudan rakan-rakan sekeliling yang selalu membantu turut memudahkan pergerakan saya ke kelas untuk mengajar," katanya.