Kerajaan ulangai komitmen banteras gejala rasuah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sesi soal jawab pada Majlis Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di China sempena lawatan rasmi beliau yang bermula hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sesi soal jawab pada Majlis Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di China sempena lawatan rasmi beliau yang bermula hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

BEIJING - Kerajaan sekali lagi mengulangi pendirian tegas dalam komitmennya membanteras gejala rasuah sebagai salah satu usaha untuk membina semula negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata antara perkara awal yang dilakukan kerajaan setelah mengambil alih tampuk pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 adalah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) pada awal tahun ini.

"Dengan wawasan jangka panjang ke arah negara bebas rasuah, pelan ini akan memastikan usaha pembanterasan rasuah diperkemas dalam kalangan aktor politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan," katanya.

Berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Rakyat Malaysia di sini malam ini, Dr Wan Azizah berkata Dewan Rakyat sebulat suara juga meluluskan usul mewajibkan ahli-ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing pada hari pertama persidangan Dewan itu sesi Julai, Isnin lepas.

"Pengisytiharan ini termasuk harta suami atau isteri, anak serta pemegang amanah dalam akaun berkanun," katanya.

Tegasnya amalan membanteras rasuah bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli Parlimen dan pihak pemerintah bahkan juga di pihak pembangkang.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata perkara itu merupakan satu ketegasan kerajaan kepada pengamalan akauntabiliti dan transparensi dalam "good governance".

Selain itu, beliau berkata pentadbiran hari ini mendapati banyak penjanjian yang dimeterai kerajaan terdahulu mempunyai nilai kontrak yang tidak munasabah lagi berat sebelah.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh bagi tiga projek mega iaitu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), kerajaan dapat menjimatkan sejumlah RM45.3 bilion daripada kos asal RM136.4 bilion," katanya.

Katanya, usaha tersebut memperlihatkan ketirisan dan rasuah dapat dikurangkan dan kerajaan akan terus memantau kos projek-projek lain selain aktiviti-aktiviti perolehan kerajaan.

Namun katanya dalam memperbetulkan keadaan, kerajaan tidak melupakan kebajikan masyarakat yang juga merupakan salah satu keutamaan kerajaan.

Dr Wan Azizah berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, Majlis Kerajaan Tempatan dan Majlis Perlindungan Sosial yang dipengerusikan beliau akan dijadikan platform terbaik dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dan hal-hal kebajikan.

Majlis ramah mesra tersebut merupakan acara pertama yang dihadiri beliau dalam rangka lawatan rasmi ke China selama empat hari bermula hari ini. - Bernama