ADUN Sungai Rambai, kerani ditahan SPRM

Hasan Abd Rahman
A
A

MELAKA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri menahan ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman serta keraninya bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tiga tahun lepas.

Hasan dan wanita terbabit yang masing-masing berusia 57 dan 34 tahun itu ditahan selepas dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM di Alai di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya berkata, pemimpin lelaki berkenaan yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri sebelum ini bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) manakala wanita terbabit merupakan kerani di pusat penyelarasan DUN tersebut.

"Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu kes berkaitan penyelewengan peruntukan bagi Inisiatif Strategic Linkage di bawah Program NBOS tahun 2016 untuk negeri Melaka yang disalurkan kepada Japerun.

"Kedua-dua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk pertuduhan esok," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu mengemukakan tuntutan palsu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia