The Terminator disabit bersalah lakukan jenayah perang

Bosco Ntaganda
Bosco Ntaganda
A
A
A

KINSHASA - Seorang bekas pemimpin pemberontak hari ini disabit bersalah melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Republik Demokratik Congo (DRC).

Hakim di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mendapati Bosco Ntaganda atau digelar Terminator bersalah atas 18 pertuduhan termasuk membunuh, merogol dan menggunakan askar kanak-kanak.

Ketua Hakim, Robert Fremr berkata, Ntaganda adalah pemimpin utama yang mengarahkan pembunuhan tanpa belas kasihan terhadap orang awam di wilayah Ituri pada 2002 dan 2003.

"Tindakan kejamnya termasuk pembunuhan beramai-ramai di sebuah desa termasuk perbuatan tidak berperikemanusiaan menghancurkan kepala bayi dan kanak-kanak.

"Dia juga bertanggungjawab terhadap perhambaan seks dan merogol kanak-kanak bawah umur dan merekrut askar budak di bawah usia 15 tahun serta membunuh seorang paderi Roman Katolik," kata hakim.

Ntaganda, 45, menjadi individu keempat disabit bersalah oleh ICC sejak penubuhannya pada 2002.

Difahamkan, hukuman ke atasnya akan diputuskan selepas hakim mendengar keterangan saksi dan Ntaganda dijangka menerima hukuman penjara seumur hidup. - AFP

Artikel Berkaitan: