Hasil tangan banduan jimat kos

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Kamarudzaman)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Kamarudzaman)
A
A
A

TAPAH - Bukan sikit nilainya, bahkan kos mencecah puluhan ribu ringgit sebulan telah dijimatkan apabila banduan di Penjara Tapah, Perak menghasilkan roti untuk menu harian di beberapa penjara di zon Utara.

Pengarah Penjara Tapah, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Kamarudzaman Mamat berkata, setiap hari penjara itu memerlukan kira-kira 200 kilogram roti sehari untuk dihidangkan kepa-da banduan.

Kata beliau, jika tidak, kos roti yang terpaksa ditanggung untuk penjara yang berkapasiti 2,500 banduan adalah kira-kira RM50,000 sebulan.

Jelas Kamarudzaman, produk roti keluaran Penjara Tapah itu turut dibekalkan kepada Penjara Seberang Perai, Batu Gajah dan juga Kamuntin.

“Di sini, kita ada bengkel roti berskala besar. Kemahiran hasil daripada latihan banduan ini berjaya menjimatkan kos makan di penjara.

“Kini kita tidak lagi membeli roti dari luar untuk menu harian banduan di beberapa penjara.

“Bukan itu sahaja, kita juga membuat projek sayur di bawah program sara diri. Kita pasarkan hasil tanaman sayur seperti tauge dan kangkung ke Penjara Batu Gajah,” katanya kepada wartawan Sinar Harian ketika ditemui di Penjara Tapah di sini baru-baru ini.

Penjara Tapah kini menempatkan hampir 3,200 banduan melebihi kapasiti sepatutnya iaitu seramai 2,300 banduan lelaki dan wanita.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Penjara Tapah menempatkan banduan atas pelbagai kesalahan dan juga menjadi satu-satunya penjara di negara ini menempatkan tahanan militan Daesh dan radikal seramai 82 banduan.

Kamarudzaman berkata, Penjara Tapah juga menjalinkan usahasama dengan syarikat swasta dalam penghasilan barangan industri berasaskan elektrik.

Jelas beliau, terdapat alat penyambungan elektrik yang dipasarkan di pasar raya di negara ini yang dihasilkan di Penjara Tapah.

“Seramai 100 banduan terlibat dengan program kemahiran itu dan mereka turut diberikan gaji sama seperti pekerja biasa.

“Selain itu, kita juga mempunyai bengkel jahitan, kimpalan, pembuatan perabot kayu, dobi, rotan dan terbaru seni tekat bermula awal tahun ini," katanya.

Menurutnya, Penjara Tapah kini menyasarkan untuk mengembangkan dan memajukan kembali seni tekat dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

“Kalau di penjara Pahang ada tenun, di Penjara Marang (Terengganu) ada songket, jadi saya ada cita-cita untuk majukan dan komersialkan seni tekat ini yang mempunyai potensi besar untuk dipasarkan,” katanya dengan penuh bersemangat.

Jelas Kamarudzaman lagi, beliau percaya bidang kemahiran seni tekat itu akan dapat mengubah kehidupan seseorang banduan berkenaan.

“Pembuatannya halus. Ia seperi satu bentuk terapi. Jiwa kasar kita akan nampak perubahan menjadi lembut,” katanya.

Hampir 700 banduan sudah peroleh sijil kemahiran

Sejak beroperasi pada 2004 hingga kini, hampir 700 banduan di Penjara Tapah telah berjaya memperoleh sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Menurut Kamarudzaman, kini pihaknya sedang meningkatkan lagi tahap sijil berkenaan kepada tahap dua dan tiga kepada banduan.

“Bidang kemahiran ini sebenarnya berada di Fasa 3 proses pemulihan mereka iaitu sebagai salah satu cara mengisi masa lapang mereka.

“Tempoh hukuman masih berbaki, jadi kita gunakan bengkel untuk mengisi masa terluang para banduan di samping mereka memperoleh pendapatan.

“Memang menjadi sesuatu yang menggembirakan kami apabila banduan yang menjalani pemulihan di sini berubah menjadi warganegara yang berguna apabila mereka keluar kelak,” ujarnya.

Malah Kamarudzaman berdoa dan berharap, bekas banduan dapat mengamalkan segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh di penjara berkenaan.

“Mereka juga boleh menebus kesalahan mereka di luar penjara dengan membantu generasi muda supaya tidak terpesong daripada landasan undang-undang dan tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat,” katanya.

Jelas beliau, bekas banduan juga perlu menguatkan keyakinan diri mereka yang mereka mampu berubah menjadi lebih baik lagi.

“Mereka (bekas banduan) perlu ada perancangan bagaimana kehidupan mereka di luar penjara terutamanya dari segi penempatan sebab mereka akan menghadapi cabaran yang hebat daripada bekas rakan penjenayah dan stigma masyarakat,” katanya.