16 jam hilang, tak sedar masuk hutan

Mangsa dibawa pulang menaiki kereta ke rumah di Kampung Padang Tara, Hulu Terengganu setelah lebih 16 jam dikhuatiri hilang.
Mangsa dibawa pulang menaiki kereta ke rumah di Kampung Padang Tara, Hulu Terengganu setelah lebih 16 jam dikhuatiri hilang.
A
A
A

HULU TERENGGANU - "Saya memang tak tau apa yang berlaku dan cuma sedar bila berada di seberang sungai di kawasan Padang Ipoh. Saya cuba cari jalan turun dari tebing tapi tak berjaya," demikian cerita Zamri Wahab, 47, bapa empat anak yang 'tersesat' lebih 16 jam sebelum berjaya ditemui orang kampung pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Menurut Zamri yang berasal dari Kampung Padang Tara, selepas waktu Maghrib kira-kira jam 8 malam semalam dia membawa anak-anaknya yang berusia tujuh bulan sehingga tujuh tahun ke rumah bapa mertua yang terletak bersebelahan dan selepas itu sudah tidak sedar apa yang berlaku.

"Masa seberang sungai setinggi paras lutut (anggaran 0.5 meter), saya dah mula sedar tapi keadaan masa tu macam antara sedar dengan tidak. Bila dah betul-betul sedar saya berada di atas tebing kawasan sungai.

"Disebabkan keadaan gelap, susah saya nak cari jalan turun tebing bagi seberang sungai pulang ke rumah, jadi saya ambik keputusan rehat di situ.

"Saya bertahan dengan minum air sungai dan pagi tadi sekali lagi cuba cari jalan pulang tapi tak berjaya sampailah terdengar ada suara orang memanggil saya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Mangsa diberikan minuman dan ditenangkan ahli keluarga sebaik tiba di rumah di Kampung Padang Tara, Hulu Terengganu setelah lebih 16 jam dikhuatiri hilang.
Mangsa diberikan minuman dan ditenangkan ahli keluarga sebaik tiba di rumah di Kampung Padang Tara, Hulu Terengganu setelah lebih 16 jam dikhuatiri hilang.

Tambah Zamri, dia segera berjalan menuju ke arah suara tersebut dan tidak berapa lama kemudian menemui beberapa orang kampung yang sedang mencarinya.

Bapa mertua mangsa, Bakar Mamat, 71, berkata, dia mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku ke atas menantunya itu setelah tidak pulang ke rumah sekitar jam 10 malam selain telefon tidak dapat dihubungi.

Artikel Berkaitan:

"Lebih kurang jam 8 malam dia bawa anak-anak ke rumah pak cik, tak lama kemudian dia terus keluar rumah tanpa sepatah kata. Pak cik cuma fikir mungkin dia keluar nak pergi ambil isteri balik kerja di Kuala Terengganu.

"Tapi salah seorang anaknya beritahu dia berjalan kaki menuju ke hutan. Isterinya beritahu, kali terakhir dapat berhubung dengan suaminya melalui aplikasi WhatsApp sekitar waktu Maghrib tetapi tidak berbalas.

"Jam 9 malam isterinya cuma hubungi, tapi gagal. Malam tadi, orang kampung telah cuba cari di kawasan sekitar termasuk ke Tanjung Kuntung tapi tidak berjaya, syukurlah menantu ditemui selamat.

"Terkejut juga dapat tahu dia ditemui di kawasan Padang Ipoh sebabnya tempat ini terletak di seberang sungai, jarak lebih kurang lima kilometer. Pak cik bersyukur kerana semuanya selamat. Terima kasih kepada semua yang membantu," katanya.