Kes bunuh anak: Pihak pendakwaan kemukakan bukti

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti melalui keterangan lisan dan dokumentari berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia lapan tahun didakwa dibunuh oleh kedua ibu bapanya, dua tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya berkata, sebelum meninggal dunia, mangsa Adrian Teoh Wai Kit, 8, dipukul oleh bapanya Aaron Teoh Eng Wan dan ibunya, En Sit Mooi dengan rotan dan kayu pada anggota badan mangsa

"Keterangan ahli Patalogi menunjukkan punca kematian adalah akibat pendarahan di tisu 'subcutaneous' dan otot mangsa akibat daripada hentakan pelbagai objek tumpul," katanya dalam ucapan pembukaan perbicaraan pada hari pertama kes tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini.

Menurutnya, pada 26 Mei 2017, jam 3.40 petang, seorang anggota polis yang juga pengadu dalam kes ini bertugas di bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya telah menerima panggilan telefon daripada Astriyani memaklumkan bahawa ada seorang kanak-kanak meninggal dunia di Klinik Procare, dekat sini.

"Pengadu membuat laporan polis dan sepasukan polis telah pergi ke klinik berkenaan dan berjumpa dengan Dr Shahrul Abd Mutalib yang mengesahkan kanak-kanak itu meninggal di kliniknya.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang untuk siasatan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan akan memanggil saksi-saksi yang akan mengemukakan keterangan bagi membuktikan Aaron dan Sit Mooi membunuh Adrian.

Terdahulu, Aaron, 35 dan isterinya, Sit Mooi, 38, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencapai niat bersama menyebabkan kematian anak sulungnya itu di sebuah premis di Regalia Business Centre, Subang Jaya jam 2 hingga 3.30 petang pada 26 Mei 2017.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pasangan terbabit juga mengaku tidak bersalah melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (5) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

Aaron diwakili peguam Tina Ong manakala Chan Tse Yuen bertindak sebagai peguam bela Sit Mooi.

Prosiding perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Pasangan itu dituduh kali pertama di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 5 Jun 2017.