KPKT cadang wujudkan balai bomba kelas E

Zuraida (tengah) pada sidang media selepas majlis pelancaran bangunan baharu Ibu Pejabat JBPM Perak yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Zuraida (tengah) pada sidang media selepas majlis pelancaran bangunan baharu Ibu Pejabat JBPM Perak yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mencadangkan kepada kerajaan untuk membina balai bomba kategori E iaitu pengkelasan baharu yang dikhususkan untuk kawasan terpencil seperti pulau dan rumah panjang.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana kawasan-kawasan seperti itu mempunyai landskap berbeza dan tidak menepati spesifikasi bagi kategori balai berkelas A, B, C dan D sedia ada.

Menurutnya, tempat-tempat seperti pulau, perairan dan rumah panjang tidak boleh dimasukkan dalam kategori ini kerana ia tertakhluk kepada faktor kos dan saiz.

"Atas sebab itu kita wujudkan satu lagi kategori baru iaitu kelas E yang mana lebih ekonomi, praktikal dan boleh memberi perkhidmatan di kawasan terpencil," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, mengikut cadangan awal, balai berkenaan akan dibina di 14 lokasi yang telah dikenal pasti iaitu 10 daripadanya di kawasan Semenanjung dan empat di Sabah dan Sarawak.

"Cadangan ini akan dimasukkan dalam Bajet tahun hadapan dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kementerian turut menjadikan pembelian jentera-jentera baharu bomba sebagai fokus utama dalam Bajet akan datang.

Katanya, kemudahan jentera baharu adalah satu keperluan penting memandangkan kenderaan yang ada sekarang telah lusuh dan tidak selamat digunakan terutama di Sabah dan Sarawak yang terpaksa melalui laluan tidak elok dan jauh.

Artikel Berkaitan:

Zuraida turut memaklumkan bahawa 15,000 baju kalis api yang diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mula diagihkan ke seluruh negara.

"Setakat ini 6,000 helai telah selesai diagihkan dan bakinya akan diagihkan secara berperingkat," katanya.

Terdahulu, beliau ditemui pada majlis pelancaran bangunan baharu Ibu Pejabat JBPM Perak yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bangunan baharu yang dibina dengan kos RM17.5 juta itu merupakan bangunan kategori A.

Sehingga kini, Perak mempunyai 32 balai bomba dan menjelang 2021, empat lagi balai akan dibina bagi mencapai sasaran penuh iaitu 36 balai seluruh negeri.