Kes Najib: Saya tak tahu kenapa Nik Faisal minta saya ke Bangkok - Suboh

Suboh Md. Yassin. - FOTO ZAHID IZZANI
Suboh Md. Yassin. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin berkata, beliau tidak tahu mengapa bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil menyuruhnya melarikan diri ke Bangkok, Thailand pada 2015 dan 2018.

Suboh, 68, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang masuk hari ke-33 di sini berkata, beliau tidak bertanya kepada Nik Faisal berhubung arahannya itu.

Saksi ke-42 itu menjelaskan nik Faisal mengarahkan beliau melarikan diri ke Bangkok Thailand pada 2015 melalui satu panggilan telefon.

Menjawab soalan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata, beliau disuruh meninggalkan Malaysia selepas pilihan raya umum.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengingati berapa kali disuruh oleh Nik Faisal meninggalkan negara ini namun menganggarkan kira-kira dua kali termasuk pada 2018.

Suboh berkata, beliau tidak bertanya kepada Nik Faisal berhubung arahannya supaya meninggalkan negara dan berasa keliru namun percaya beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Suboh menjelaskan, beliau telah ke Indonesia selama beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menjawab soalan Muhammad Shafee kenapa beliau memilih untuk meninggalkan negara selepas PRU14, Suboh menjawab, beliau perlu berehat selepas menjalankan tanggungjawab (mengundi).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu menurut Suboh, beliau enggan mengikut arahan Nik Faisal yang memintanya meninggalkan Malaysia buat kali kedua pada 2018.

"Ketika itu saya sudah berada di Indonesia dan beliau meminta saya untuk pergi ke Bangkok sekali lagi," katanya.

Perbicaraan dihadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ditangguhkan sementara dan disambung lagi selepas makan tengahari.