LKIM Pahang catat pendaratan ikan segar 110,167 tan

Bot nelayan mendarat ikan di jeti Kompleks LKIM Kemunting di sini. Gammbar kecil: Rashima
Bot nelayan mendarat ikan di jeti Kompleks LKIM Kemunting di sini. Gammbar kecil: Rashima
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang mencatat pendaratan pelbagai jenis ikan segar sebanyak 110,167 tan yang dianggarkan bernilai RM318.2 juta oleh nelayan tempatan sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Rashima Baharuddin berkata, bagaimanapun dalam pertengahan tahun ini sebanyak 37.321 tan ikan telah didaratkan bagi pasaran tempatan dan luar negara yang bernilai lebih RM108.4 juta.

Menurutnya, setakat ini pendaratan ikan paling tinggi berlaku pada pada April lalu membabitkan sebanyak 9,853 tan diikuti Mac (8,685), Mei (6,906), Januari (6,329) dan Februari (5,576).

“Ini data yang diperolehi setakat ini tapi kita berharap jumlah pendaratan ikan di negeri ini terus bertambah setiap bulan, sekali gus dapat menampung permintaan ikan di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Jeti Pendaratan Ikan Kompleks LKIM Kemunting, hari ini.

Jelasnya, kini terdapat 332 bot membabitkan 45 bot Zon B, 51 Zon C2, 144 bot (Zon AB) dan 122 bot (Zon C) mendaratkan hasil tangkapan mereka di jeti kompleks LKIM di sini.

Rashima berkata, terdapat empat kompleks pendaratan ikan dan 32 jeti pendaratan serta tambatan membabitkan daerah ini, Pekan dan Rompin.

Katanya, kerajaan sentiasa membantu nelayan dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan dalam usaha untuk meningkat taraf ekonomi golongan berkenaan.

“Bantuan peralatan menangkap ikan, bot dan alat mengesan ikan yang diberikan diharap dapat meningkatkan lagi hasil tangkapan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita turut menyediakan bantuan lain seperti dana nelayan, perumahan nelayan, tabung bencana alam dan kebajikan nelayan, insuran nelayan, elaun sara hidup, subsidi bahan api serta pembangunan usahawan asas perikanan," katanya.