Wanita ditikam lepas putus hubungan asmara

Wanita warga Indonesia yang ditemui mati ditikam di parkir masjid di Sg Way di sini.
A
A

PETALING JAYA - Enggan meneruskan hubungan asmara bersama seorang lelaki dipercayai jadi punca seorang wanita warga Indonesia maut ditikam, di parkir Masjid Al Husna, Sg Way di sini, lewat malam tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek yang menikam mangsa kemudian bertindak menikam diri sendiri dan meminum racun dipercayai untuk membunuh diri.

Menurutnya, polis menerima panggilan memaklumkan terdapat seorang lelaki bersenjata di pekarangan masjid di Jalan PJS 10, pada jam 10.18 malam.

Katanya sepasukan polis bergegas ke lokasi dan mendapati seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Asmaul Hasanah, 28, yang ditikam di bahagian dada sebelah kiri sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Polis berjaya tahan suspek yang juga warga Indonesia di Wad Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaysia pada jam 1.50 pagi tadi," katanya.

Mohd Zani berkata, siasatan awal mendapati suspek mengenali mangsa sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, selama tempoh perkenalan suspek dikatakan membelanjakan sejumlah wang kepada mangsa bagi tujuan melakukan hubungan intim.

Bagaimanapun suspek dikatakan tidak mampu memberi wang kepada mangsa menyebabkan mangsa tidak mahu meneruskan hubungan sehingga mencetuskan kemarahan kepada suspek.

"Sebelum kejadian berlaku, suspek tunggu mangsa di kawasan parkir masjid Al Husna dengan pisau dan sebotol racun. Ketika mangsa dan rakannya menghampiri parkir masjid Al Husna , suspek tikam mangsa di bahagian dada. Dia kemudian minum racun dan menikam diri sendiri untuk membunuh diri," katanya.

Kes diasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.