Tiga syarikat terima padah sebabkan longgokkan sisa pepejal

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melonggokkan sisa pepejal terkawal.

Ketiga-tiga syarikat terbabit melalui wakil masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob secara berasingan selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Syarikat Toh Loh Construction Sdn Bhd berdepan dua pertuduhan, manakala Nine Three Three Renovation & Enterprise serta CK Kim Trading masing-masing satu pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat Toh Loh Construction Sdn Bhd diwakili pengarahnya didakwa menyebabkan supaya dilonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran.

Selain itu, syarikat tersebut juga didakwa menyebabkan supaya dilonggokkan sisa pepejal isi rumah tanpa kebenaran bagi pertuduhan kedua.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di GRN 43107 Lot 51562 dan GRN 50912 Lot 733, Mukim Plentong di sini sekitar jam 3.15 petang, 17 Julai 2018.

Sementara itu, CK Kim Trading diwakili pengarahnya didakwa menyebabkan supaya dilonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tanah rezab pengaliran elektrik kepunyaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Impian Emas, Mukim Tebrau di sini, sekitar jam 11.56 pagi, 22 November 2018.

Artikel Berkaitan:

Manakala Nine Three Three Renovation & Enterprise diwakili pengurusnya didakwa menyebabkan supaya dilonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tanah Lot 2008, Kampung Ladang Darat, Mukim Tanjung Kupang di sini sekitar jam 12 tengahari, 30 Januari lalu.

Kesemua syarikat didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) Akta yang sama.

Mahkamah kemudiannya menetapkan denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan ke atas ketiga-tiga syarikat terbabit kecuali pertuduhan kedua terhadap Toh Loh Construction Sdn Bhd yang sekadar diberikan amaran.

Pendakwaan ke atas Toh Loh Construction Sdn Bhd dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nor Iffa Zarilla Abd Rahman manakala syarikat diwakili peguam, Lu Hon San.

Selain itu pendakwaan ke atas CK Kim Trading dan Nine Three Three Renovation & Enterprise pula dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SWCorp Rosmawati Rabial Hashim dan Pegawai Pendakwa SWCorp Rubiah Maulud manakala kedua-dua syarikat terbabit tidak diwakili mana-mana peguam.