Sebutan semula kes Lokman Adam serang penuntut UM 19 Ogos

Lokman Noor Adam. - FOTO ZAHID IZZANI
Lokman Noor Adam. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua UMNO Petaling Jaya Abdul Mutalif Abdul Rahim dan dua lagi individu yang didakwa atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut universiti, Mac lepas.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Adam Mohamed memaklumkan mahkamah bahawa terdapat beberapa dokumen berkaitan kes ini belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

"Hari ini pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan termasuk laporan polis yang dibuat oleh mangsa-mangsa dalam kes ini.

"Bagaimanapun, laporan perubatan mangsa daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) masih belum diterima, jadi saya memohon tarikh sebutan lain,” katanya pada sebutan kes itu hari ini.

Pada 28 Mac lepas, Lokman Noor, 46, Abdul Mutalif, 48, yang juga adik ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Salmon Arif Budiman Mychlis, 48, (kerani Pejabat UMNO Lembah Pantai) dan Mohd Norzakifah Mohamed Nawi, 44, (penghantar surat sebuah firma guaman), masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut universiti.

Peguam N.Logendran mewakili Lokman Noor manakala peguam Azrul Zulkifli Stork mewakili Abdul Mutalif dan peguam Datuk M.Reza Hassan mewakili Salmon Arif Budiman dan Mohd Norzakifah masing-masing mengesahkan telah menerima dokumen itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, keempat-empat tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan bagi melaksanakan tujuan bersama perhimpunan itu telah melakukan mudarat awam dan seorang daripada tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada Wong Yang Ke, 23, penuntut Universiti Malaya, dengan cara memegang rahang, menarik leher dan menarik rambut mangsa dari arah belakang.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di perhentian bas, di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields di sini, pada 3.30 petang, 22 Mac lepas.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lokman Noor juga didakwa atas satu pertuduhan dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada mangsa sama, dengan cara mengoyakkan plakad milik mangsa di tempat, tarikh dan masa sama.

Lokman Noor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Abdul Mutalif juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Siti Mariam Mohamad Nizar, 25, pelatih portal berita, pada ibu jari tangan kanan mangsa di Restoran Amjal,

Jalan Pantai Baharu, Brickfields di sini, pada 3.45 petang, 22 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang sama.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama di tempat dan tarikh sama mengikut seksyen yang sama. -Bernama