Pilihan raya PBT tidak akan dilaksana dalam masa terdekat

Raja Kamarul
Raja Kamarul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam peringkat penyediaan Kertas Jemaah Menteri mengenai pilihan raya kerajaan tempatan yang akan diangkat untuk pertimbangan dan persetujuan dasar.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, KPKT juga akan membuat persediaan yang lebih menyeluruh dan komprehensif bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan setelah mendapat keputusan jemaah menteri kelak.

"Sehubungan itu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat sehingga telah ada keputusan jemaah menteri mengenainya," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengarang) mengenai perkembangan kajian yang dibuat oleh kementerian, berkenaan pelaksanaan semula pilihan raya peringkat kerajaan tempatan sama ada ia dilaksanakan dalam masa terdekat.

Berhubung perkara itu katanya, sehingga kini KPKT telah mengadakan tiga siri bengkel kajian kebolehlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan sepanjang tempoh 2018-2019.

"Lanjutan daripada siri bengkel tersebut, kerajaan perlu meminda perundangan yang berkaitan untuk membolehkan pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan," katanya.

Pilihan raya kerajaan tempatan pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat Daerah sebelum 1964.

Pada 2006, cadangan itu telah dibangkitkan semula di Parlimen.

Artikel Berkaitan: