Kuala Koh bebas zon merah

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - Perkampungan orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini, isytiharkan bebas zon merah, jam 8 pagi tadi.

Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kawasan berkenaan disahkan selamat dari sebarang wabak penyakit berjangkit.

Katanya, keputusan untuk menarik balik larangan zon merah itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jajahan Gua Musang di Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Gua Musang, semalam.

"Keputusan ini dibuat apabila Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang berpuas hati dengan tahap kesihatan masyarakat orang asli di kawasan berkenaan.

"Kita juga telah memaklumkan kepada semua agensi yang terlibat dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di Felda Aring 10, iaitu di laluan utama ke Kuala Koh juga akan menghentikan operasi.

"Perkara ini turut dimaklumkan kepada penduduk Kuala Koh dan orang ramai boleh memasuki kawasan berkenaan tanpa bimbang," katanya.

Terdahulu, bermula 12 Jun, polis mengisytiharkan Kampung Kuala Koh sebagai zon merah bagi mengelak penularan penyakit demam campak yang menyerang suku kaum Bateq.

Dalam insiden berkenaan, seramai 15 orang asli meninggal dunia mulai 2 Mei lalu manakala 173 kes dilaporkan iaitu 147 di Kelantan, 18 di Terenggnu dan lapan di Pahang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kuala Koh diisytihar sebagai zon merah