X

Kindly register in order to view this article
!

Sidang Parlimen bersambung, isu keusahawanan dapat perhatian

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Isu keusahawanan merupakan antara perkara dibangkitkan anggota Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang bersambung bagi minggu kedua, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) bertanyakan Menteri Pembangunan Usahawan mengenai sebab orang Melayu dan bumiputera kurang menjadi usahawan dan langkah bagi meramaikan golongan berkenaan, dalam sesi soal jawab lisan.

Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas-Pasir Puteh) pula ingin tahu sama ada kementerian berkenaan telah merangka program keusahawanan khusus untuk membantu golongan usahawan baharu daripada kalangan B40.

Turut menarik perhatian ialah soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) yang bertanyakan Menteri Kesihatan mengenai berapakah aduan dan saman telah dikeluarkan terhadap kesalahan merokok di premis makanan.

Sidang Dewan Rakyat hari juga dijangka membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019, bertujuan antaranya bagi meningkatkan hukuman terhadap mana-mana orang yang gagal mematuhi 'award' dibuat Tribunal.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, yang mencadangkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun juga tersenarai untuk bacaan kali kedua, di nombor tiga pada aturan mesyuarat Dewan Rakyat, selepas berakhirnya sesi soal jawab lisan.

RUU bagi meminda Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan itu dibentang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bacaan kali pertama pada sidang dewan, Khamis lepas.- Bernama