APM Melaka perlukan aset baharu

No Image Caption
A
A
A

MELAKA – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka memerlukan beberapa aset baharu seperti kenderaan pacuan empat roda dan motosikal lasak bagi melancarkan lagi operasi bantuan kecemasan serta perkhidmatan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata rata-rata aset yang dimiliki APM Melaka telah uzur, ada di antaranya tidak dapat dibaiki lagi kerana terlalu usang, namun itu bukan alasan bagi pihaknya untuk tidak terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat dan agensi lain yang memerlukan bantuan.

Effendy memberitahu Bernama motosikal lasak diperlukan bagi membolehkan pasukan perubatan APM Melaka memberi rawatan awal kepada mangsa apabila berlaku kemalangan di lebuh raya.

“Kini kita hanya mempunyai sebuah motosikal berkuasa tinggi yang ditempatkan di APM Alor Gajah yang akan bertindak segera jika berlaku kemalangan di lebuhraya Utara-Selatan,” katanya.

Beliau berkata APM Melaka mengalu-alukan jika ada individu atau syarikat korporat yang sedia untuk menyumbang aset bagi kegunaan APM Melaka. Mereka yang ingin berbuat demikian boleh terus menghubungi Effendy atau datang ke pejabat APM negeri Melaka.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjemput kelab menyelam atau individu yang mempunyai lesen dan peralatan menyelam untuk menyertai unit menyelamat skuba APM Melaka.

“Sehingga kini kita hanya ada enam orang penyelam tetap dengan kelengkapan yang agak uzur....jika ada pihak yang berminat untuk menyertai unit tersebut boleh menghubungi APM Melaka untuk mendaftar sebagai sukarelawan,” katanya.

Effendy berkata unit tersebut banyak membantu agensi penguatkuasan lain seperti polis dalam operasi mencari bahan bukti kes jenayah dan kes orang hilang.

Artikel Berkaitan:

Katanya mereka yang menyertai sukarelawan APM akan diberi latihan oleh jurulatih berpengalaman daripada APM sendiri bagi memastikan mereka benar-benar bersedia sebelum dibenarkan menyertai operasi menyelamat bersama anggota tetap unit tersebut. - Bernama