X

Kindly register in order to view this article
!

Co-opbank Pertama capai RM22 juta syer

Kamari Zaman bermesra dengan kakitangan selepas Majlis Pembukaan Co-opbank Pertama cawangan Kota Bharu di Kubang Kerian hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Pertumbuhan perniagaan Co-opbank Pertama (CBP) cawangan Kota Bharu yang konsisten berjaya mengembangkan capaian keahlian seramai 4,386 dengan jumlah syer sebanyak RM22 juta tahun ini.

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, ia selaras dengan usaha CBP untuk meningkatkan capaian pelanggan di negeri ini menerusi pembukaan baharu CBP di Tanah Merah, menjelang November ini.

Menerusi pembukaan dua cawangan itu beliau yakin, ia dapat meningkatkan lagi capaian CBP kepada lebih 500,000 penduduk di dua daerah tersebut.

“Ia sekali gus memberi kemudahan kepada lebih 800 koperasi di negeri ini bagi mendapatkan sumber pembiayaan khusus bagi sektor koperasi.

“Kami menjadi pilihan penduduk di Kelantan kerana imej CBP sebagai Co-opbank Syariah terunggul di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pembukaan Co-opbank Pertama cawangan Kota Bharu hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar; Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak dan Pengurus cawangan CBP Kota Bharu, Amirul Ridzuan Abd Razak.

Kamari Zaman berkata, pembukaan premis baharu ini bersempena perpindahan CBP di Wakaf Che Yeh ke Kubang Kerian dan menjadi cawangan ke 11 seluruh negara manakala pertama di Kelantan sejak pembukaannya pada September 2008.

Beliau berkata, CBP yang sebelum ini dikenali Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad diterima baik di kalangan masyarakat Kelantan kerana menyediakan pelbagai alternatif produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan syariah.

Ia katanya, merangkumi produk simpanan, pembiayaan dan pelaburan, bukan sahaja sektor koperasi malah memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat dan korporat.