PBT di Johor dinilai KPKT

Tan Chen Choon
Tan Chen Choon
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Prestasi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dinilai oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, penilaian dibuat melalui sistem penarafan bintang PBT.

“Kriteria atau indikator yang diberi penilaian adalah dari segi pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan serta penyertaan komuniti dan pandangan penduduk,” katanya menjawab soalan Ng Yak Howe (PH-Bentayan) berhubung penilaian setiap PBT dan cara ia dilaksanakan.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Yak Howe, Chen Choon (PH- Jementah) berkata, sebanyak 11 PBT di Johor mendapat penarafan lima bintang, tiga PBT (empat bintang) dan satu PBT (tiga bintang).

“PBT yang mendapat penarafan lima bintang adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Majlis Perbandaran Muar (MPM), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Daerah Pontian (MDP), Majlis Daerah Tangkak (MDT), dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

“Bagi penarafan empat bintang pula adalah Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Majlis Daerah Mersing (MDM).

"Manakala penarafan tiga bintang pula Majlis Daerah Labis (MDL),” katanya.

Artikel Berkaitan: