KPN jamin siasat dakwaan aktivis pro Hong Kong diancam SB

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi jaminan siasatan akan dibuat terhadap dakwaan seorang pegawai Cawangan Khas cuba mengancam aktivis yang menganjurkan acara menyokong gerakan di Hong Kong membantah undang-undang ekstradisi ke tanah besar China.

Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan perkara itu kerana pasukannya menghormati kebebasan bersuara dan berhimpun.

“Saya tidak akan membenarkan perkara ini berlaku, tak ada seorang pun terutamanya pegawai dari Cawangan Khas, dibenarkan untuk menakut-nakut sesiapa.

“Sekiranya berlaku, saya akan menghubungi pegawai itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama Warga PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Abdul Hamid kemudiannya berkata, dia tidak boleh mengulas lanjut buat masa ini kerana belum mendapat butiran lengkap mengenai kejadian itu.

Semalam, Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Siah Kwong Liang dan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMany), Wong Yan Ke seperti dilaporkan media mendakwa mereka diancam seorang yang dipanggil “Tuan Tan” ketika disoal siasat selepas acara solidariti dengan gerakan aktivis di Hong Kong.

Artikel Berkaitan: