Sheikh Umar Ketua Pemuda DAPSY Johor

Sheikh Umar Ali dipilih sebagai Ketua Pemuda DAPSY Johor yang baharu dalam pemilihan baru-baru ini.
Sheikh Umar Ali dipilih sebagai Ketua Pemuda DAPSY Johor yang baharu dalam pemilihan baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Exco Kerajaan Johor, Sheikh Umar Ali merakamkan ucapan terima kasih kepada wakil Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan dalam sesi pemilihan Ketua Pemuda DAPSY Negeri, baru-baru ini.

Menurutnya, mandat diberi menuntut perubahan yang menyeluruh, bukan sahaja kepada sayap pemuda, tetapi kepada parti secara keseluruhannya.

"Kemenangan ini bukanlah kemenangan berdasarkan kaum, tetapi ia adalah kemenangan anak Malaysia, anak Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sheikh Umar berkata, kemenangan itu juga mengingatkan dirinya atas usaha serta pengorbanan wakil-wakil DAPSY terdahulu, yang telah bersusah payah menubuh dan menggerakkan sayap pemuda ketika zaman pembangkang lagi.

"Pastinya ketika itu, tugas mereka sangat sukar dan mencabar. Dengan penuh rendah diri, saya ucapkan tahniah dan terima kasih atas segala pengorbanan para pemimpin DAPSY terdahulu," katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan yang paling dalam serta tabik hormat kepada Allahyarham Fadzlan Yahya.

Katanya, Almarhum merupakan wakil rakyat DAP yang telah memenangi kerusi DUN Pasir Bedamar di kawasan Teluk Intan pada pilihan raya 1982.

"Beliau dipilih sebagai ADUN di kawasan itu selama dua penggal sebelum memenangi DUN Lahat, juga di Perak, pada tahun 1990.

Artikel Berkaitan:

"Almarhum turut memegang jawatan Naib Pengerusi DAP dan Ketua DAPSY di zamannya. Beliau turut cukup dikenali sebagai seorang pemidato yang cukup lantang dan hebat," katanya.

Sheikh Umar berkata, pada hematnya, dalam menekuni sejarah perjuangan parti, Allahyarham seorang tokoh paling awal jika mahu disebut sebagai 'anak Melayu' yang memimpin organisasi dan gerakan anak muda DAP.

"Suka juga untuk saya nyatakan, tugas berat pastinya menanti saya selepas ini apatah lagi tuntutan yang cukup besar setelah menjadi salah satu parti gabungan dalam kerajaan.

"Ingin saya tegaskan bahawa, saya akan memegang dan melaksanakan amanah besar ini bukan sahaja untuk menunaikan janji tetapi juga membantu memastikan barisan pemuda PH Johor terus ke hadapan dan menjadi tunggak utama kekuatan parti serta kerajaan," katanya.

Dengan kemenangan itu, beliau mengajak sayap pemuda terus merapatkan barisan dan menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkan organisasi agar segala cita-cita dan harapan untuk melihat perubahan akan tercapai.

"Sekalung tahniah kepada Marina Ibrahim serta rakan-rakan yang turut sama bertanding dalam pemilihan DAPSY Johor kali ini.

"Kita akan bersama-sama merapatkan barisan untuk bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan sejarah baharu tercipta apabila sayap DAPSY Johor buat pertama kali diterajui oleh ketua dalam kalangan pemimpin Melayu.

Pegawai pilihan raya DAPSY Johor, Eric Teh mengumumkan Sheikh Umar memenangi jawatan Ketua Pemuda DAPSY negeri dengan memperoleh 31 undi menewaskan pencabarnya, Marina Ibrahim.

Kejayaan Sheikh Umar juga mendapat perhatian Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee yang mengucapkan tahniah selain meminta agar Marina meneruskan perjuangannya.