Kakitangan pejabat perhutanan maut kemalangan

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan anggota BBP Kuala Berang setelah terlibat kemalangan di Kilometer 93 Aring/ Sungai Gawi, Hulu Terengganu, petang tadi. - Gambar kecil: Mohd Fauzi
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang kakitangan pejabat perhutanan maut, manakala anak lelakinya patah paha kanan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 93 Aring/ Sungai Gawi, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Mohd Fauzi Azir, 38, yang bertugas sebagai pembantu am di Pejabat Perhutanan Cameron Highlands dan beralamat di Kampung Kuala Gali Raub, Pahang maut di lokasi kejadian manakala anaknya, Muhammad Alif Syazwan Mohd Fauzi,8, dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu mangsa dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Berang hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan.

"Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan telah dikeluarkan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan penumpang yang juga anak mangsa dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan.

"Keadaan tempat kejadian, jalan satu lorong dua hala, keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi daripada BBP Kuala Berang, PBK II Zuraidi Mohd Yusuf berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 25 minit untuk keluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

"Pihak bomba menerima panggilan jam 1.10 petang dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan keseluruhan sembilan anggota.

"Operasi tamat jam 2.36 petang," ujarnya.