Rakyat Johor sokong penubuhan Universiti Johor

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Rakyat Johor menunjukkan sokongan tinggi terhadap penubuhan Universiti Johor.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, sokongan itu ditunjukkan hasil kajian lapangan di 10 daerah di negeri ini.

Menurutnya, hasil kajian juga mendapati 84.4 peratus bersetuju bahawa keunikan dan kekuatan Universiti Johor adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri dengan penglibatan dari komuniti dan industri.

"Manakala konsep terbaik dalam tadbir urus, model kewangan, akademik, fizikal, hubungan industri dan penyelidikan Universiti Johor sedang dikaji dan diperhalusi dalam fasa 2.

"Kajian (untuk) memastikan Universiti Johor dapat memberikan kesan transformatif kepada masyarakat," katanya ketika penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di sini hari ini.

Aminolhuda berkata, terkini, kerajaan negeri sedang giat merangka dan menyediakan Pelan Perancangan Strategik Penubuhan Universiti Johor dengan mengambil kira cabaran dan implikasi yang bakal dihadapi.

"Ini bagi memastikan universiti milik kerajaan negeri ini kekal mampan, lestari dan relevan. Perancangan penubuhan Universiti Johor ini juga merupakan satu bukti yang menunjukkan kerajaan negeri serius dalam usaha mengangkasakan institusi pengajian tinggi di Johor.

"Supaya dengan izin ALLAH, Johor dapat menjadi peneraju dalam institusi pendidikan tinggi negara yang berasaskan model Quad-Helix melalui usahasama teguh daripada Universiti Johor, kerajaan negeri, industri dan komuniti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kajian fasa 1 penubuhan Universiti Johor melibatkan keperluan sumber manusia serta analisis keupayaan pesaing dan jurang.

"Ia dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan dari pemegang taruh dan juga pemain industri khususnya di Johor.

"Pandangan dari pihak Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) dan Lembaga Pelaburan Malaysia (MIDA) juga menjadi rujukan bagi memastikan Universiti Johor berupaya memperkasa industri dan ekonomi di Johor," katanya.

Aminolhuda berkata, dengan penubuhan Universiti Johor juga, ia akan berperanan menjadi rakan strategik kepada industri, komuniti dan kerajaan negeri dalam memacu daya saing rakyat serta memupuk bakat masa depan.