Kes Raymond, Amri: KDN lantik dua anggota baru sertai PPK

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melantik dua anggota baharu dalam Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat melalui satu mesyuarat yang pada esok atau lusa.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, salah seorang daripadanya akan menggantikan Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri daripada pasukan itu.

“Keputusan Mokhtar untuk menarik diri datang daripada beliau sendiri, oleh sebab itu di peringkat kementerian dan saya sendiri kita akan menamakan pengganti. Kita tidak akan tangguhkan (siasatan).

“Saya fikir kita boleh menambah seorang lagi dan mungkin dalam kalangan bukan Melayu dalam pasukan ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan PPK ditubuhkan dengan melibatkan enam anggota yang diketuai bekas hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

Selain Mokhtar PPK turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis KDN, Mohd Russaini Idrus.

ARTIKEL BERKAITAN: Mokhtar tarik diri siasat kes Raymond, Amri

Bagaimanapun Selasa lalu Mokhtar dilaporkan menarik diri secara sukarela dan atas rasa tanggungjawab untuk memelihara integriti dan ketelusan pasukan ekoran tindakan pihak tertentu mempersoalkan kesesuaian keanggotaannya.

Artikel Berkaitan:

PPK itu ditubuhkan bagi menyiasat semula laporan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Tempoh selama enam bulan diberikan untuk melakukan siasatan dengan kes Amri akan didahulukan kerana kes melibatkan kehilangan Raymond masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.