Lawatan rasmi TPM pererat hubungan Malaysia-China

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di China Nuryante Mohd Yazid bercakap pada sidang media bersama wakil media Malaysia mengenai lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke China selama empat hari mulai esok. - Foto BERNAMA
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di China Nuryante Mohd Yazid bercakap pada sidang media bersama wakil media Malaysia mengenai lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke China selama empat hari mulai esok. - Foto BERNAMA
A
A
A

BEIJING - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke China mulai esok, bertujuan memastikan kesinambungan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China terus diperkukuh dan dipererat.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di China, Nuryante Mohd Yazid berkata, lawatan Dr Wan Azizah ke China pada kali ini adalah yang pertama sejak beliau menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Lawatan beliau selama empat hari ke China (8-11 Julai) adalah atas jemputan rakan sejawatan beliau, Timbalan Perdana Menteri China, Sun Chunlan," katanya pada sidang media bersama Bernama dan RTM di sini, hari ini.

Nuryante berkata, Timbalan Perdana Menteri yang dijangka tiba esok (Isnin, pukul 3.00 petang) akan memulakan lawatan rasmi beliau dengan menghadiri Majlis Makan Malam bersama kira-kira 130 rakyat Malaysia yang bermastautin di China.

Pada hari kedua lawatan, Dr Wan Azizah akan mengadakan program rasmi yang agak padat kerana berpeluang untuk berjumpa dengan empat pemimpin kanan China.

"Pada sebelah pagi, Dr Wan Azizah akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Presiden Wang Qishan di Zhongnanhai," katanya.

Antara perkara yang akan dibincangkan adalah usaha bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala, sambutan ulangtahun ke-45 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China serta kerjasama dalam Belt and Road Initiative.

Selepas itu, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dijadual mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan Timbalan Perdana Menteri, Sun Chunlan yang menyelia Jawatankuasa Kerja Kebangsaan State Council mengenai Kanak-Kanak dan Wanita.

Artikel Berkaitan:

Nuryante berkata, mesyuarat itu akan disusuli dengan Majlis Makan Tengah hari yang dihoskan Timbalan Perdana Menteri China itu.

Kedua-dua rakan sejawatan itu dijangka membincangkan usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara Malaysia dan China selain mengetahui perkembangan terkini mengenai keputusan-keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa dua lawatannya pada Ogos 2018 dan April 2019.

Selain itu, kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan, agro-komoditi, pertanian, pembangunan wanita serta pelancongan dan kebudayaan juga akan dibincangkan pada mesyuarat itu.

Pada sebelah petang, Dr Wan Azizah dijadual mengadakan lawatan ke Masjid Dongsi yang juga sebuah masjid bersejarah berusia 660 tahun yang ditubuhkan sejak zaman Dinasti Yuan (Keturunan Mongol) dan akan berjumpa dengan wakil masyarakat Islam di China dan pihak pimpinan masjid.

Beliau berkata, Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Pakatan Harapan akan mengakhiri lawatan hari kedua beliau dengan mesyuarat dua hala bersama Pengarah Jabatan Antarabangsa Communist Party of China (Parti CPC), Song Tao dan Majlis Makan Malam yang dihoskan Song Tao.

"Kedua-dua pihak akan membincangkan program-program pada masa akan datang bagi mengeratkan hubungan parti politik antara Pakatan Harapan dan Parti CPC," katanya.

Pada hari ketiga lawatan, Dr Wan Azizah akan mengadakan lawatan ke Pusat Pengurusan Bencana China untuk mendengar penerangan terperinci mengenai amalan terbaik dan teknologi terkini yang digunakan pihak berkuasa China bagi menangani bencana.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya akan mengadakan Majlis Makan Tengah hari dengan ahli-ahli perniagaan Malaysia di China.

"Perbincangan akan memberi tumpuan kepada status terkini pelaksanaan dan rancangan pelaburan syarikat Malaysia di China serta usaha kerajaan untuk meningkatkan produk dan perkhidmatan Malaysia di pasaran antarabangsa khususnya di China," katanya.

Seterusnya, Nuryante berkata, Dr Wan Azizah akan mengadakan lawatan ke Pusat Penyelidikan Huawei untuk mendapatkan maklumat dan penerangan mengenai teknologi terkini yang dihasilkan pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar di dunia

"Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dengan pucuk pimpinan Huawei bagi membincangkan kerjasama yang saling menguntungkan di antara Malaysia dan syarikat itu," katanya.

Sejurus selepas itu, Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat meja bulat bersama usahawan dan pelabur terkemuka di Beijing bagi menarik lebih banyak pelaburan asing di Malaysia.

"Beliau akan memberi penerangan kepada lebih 30 syarikat dari China pada mesyuarat itu mengenai dasar dan insentif pelaburan terkini yang ditawarkan kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terkemuka di rantau ini," katanya.

Pada hari terakhir lawatan rasmi, Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan lawatan ke Pusat Pemulihan dan Penyelidikan Pendengaran dan Percakapan bagi Kanak-Kanak China dan disusuli dengan sidang akhbar bersama media Malaysia sebelum berangkat pulang ke Malaysia, kata Nuryante.

Turut mengiringi lawatan Dr Wan Azizah adalah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. - Bernama