Bajet tambahan: Atasi masalah saliran kawasan pertanian

Salahuddin (tengah) melihat peralatan moden untuk sistem pengairan dan seliran selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran (Manco) kali ke-23 di Hotel KSL, Johor Bahru, sebentar tadi.
Salahuddin (tengah) melihat peralatan moden untuk sistem pengairan dan seliran selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran (Manco) kali ke-23 di Hotel KSL, Johor Bahru, sebentar tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berusaha mendapatkan bajet baharu untuk mengatasi masalah saliran yang dihadapi beberapa kawasan pertanian dalam negara.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, usaha berkenaan dilihat langkah terbaik bagi memastikan bekalan dan pengeluaran bahan makanan dari negara ini tidak terjejas.

“Kementerian mempunyai rancangan untuk mengatasi masalah ini (masalah pengairan dan saliran), untuk menjadikan ia lebih efisyen perlunya ada peruntukan tambahan.

“Bajet tambahan ini juga bagi membolehkan para petani dan pengusaha mendapatkan tambahan pam dan peralatan-peralatan lain, sekarang ini kita tidak cukup bajet," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran (Manco) kali ke-23 di Hotel KSL, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, permohonan mendapatkan peruntukan itu juga akan dikemukakan sebelum berunding dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Selain bajet, kita juga akan berusaha mengatasi masalah ini dengan mengoptimumkan seberapa banyak kepakaran dan kemudahan daripada agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, perkembangan terkini Projek Jeniang Transfer untuk bekalan air penduduk dan bidang pertanian di Kedah akan memasuki fasa yang baharu tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek yang sudah memasuki 30 peratus pembangunannya itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 10 tahun lagi.

"Projek ini akan membekalkan sumber air yang cukup untuk kawasan jelapang padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Dengan adanya projek ini unjuran kita dalam tempoh 10 tahun akan datang, isu pengairan di MADA akan dapat kita atasi," katanya.

Untuk rekod, projek berkenaan melibatkan pembinaan terusan sepanjang 23km berjumlah RM960 juta untuk memberi manfaat kepada lebih 18,000 petani.

Ia iuga berupaya membantu dalam menjayakan skim penanaman dua kali setahun serta projek bekalan air Langkawi bernilai RM600 juta.