Polis rampas senjata api tiruan

Muhamad Halim (tiga dari kiri ) menunjukkan antara senjata api yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.
Muhamad Halim (tiga dari kiri ) menunjukkan antara senjata api yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

PADANG BESAR - Seorang penganggur yang aktif menjual pelbagai jenis senjata api tiruan tumpas apabila dia ditahan di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Balai Polis Kaki Bukit kira-kira jam 8.15 malam pada hari berkenaan.

Katanya, serbuan ke atas bilik suspek berjaya menemui sejumlah senjata api yang disyaki diseludup dari Thailand.

"Kita menemui 213 pucuk pistol, 17 laras senapang, 164 biji peluru, 36 botol gas, dua pasang gari dan beberapa aksesori atau komponen senjata api lain yang dianggarkan bernilai RM70,000," katanya pada sidang akhbar di IPD Padang Besar di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek yang merupakan bapa kepada seorang anak itu menjual semua jenis senjata api tiruan tersebut melalui satu kumpulan WhatsApp sebelum melakukan penghantaran terus kepada individu tertentu atau menggunakan khidmat kurier.

"Suspek juga dipercayai menjual senjata api tiruan ini kepada pelanggan yang dikenali sahaja pada harga antara RM100 hingga RM2,000," katanya.

Muhamad Halim berkata, lelaki terbabit disyaki berperanan sebagai ejen kepada satu sindiket menjual senjata api tiruan yang mana kegiatan penyeludupan dilakukan pihak lain disyaki warga Thailand.

"Senjata ini diseludup melalui laluan sah dalam jumlah yang kecil sedikit demi sedikit dari sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Wang Kelian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, suspek juga mendakwa menerima bekalan senjata api berkenaan sebanyak tiga kali seminggu.

"Pihak polis kini sedang mengesan individu atau kumpulan lain yang terlibat dalam sindiket menjual senjata api tersebut termasuk pelanggan.

"Kita akan menyiasat daripada semua sudut kerana bimbang senjata api tiruan ini dibeli individu yang mahu melakukan jenayah memandangkan senjata yang dirampas ini menyerupai senjata asli," katanya.

Katanya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu berikutan dia pernah ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 2016 kerana cuba menyeludup senjata api tiruan.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan dan Seksyen 89 Akta Polis 1957 kerana memiliki, menjual atau membekalkan secara haram peralatan polis tanpa kebenaran," katanya.