Syed Saddiq pelawa Khairy masuk Bersatu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipelawa secara terbuka untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pelawaan oleh Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Menteri Belia dan Sukan itu dibuat menerusi ciapan di Twitter miliknya, semalam.

Berkongsi laporan sebuah portal yang memetik respons Khairy berkaitan pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu, Syed Saddiq berkata, Ahli Parlimen Rembau itu patut mengikut jejak langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tokpa.

"Bersama-sama, kita boleh memajukan Malaysia ke hadapan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Melayu berpecah macam mana nak menang?

Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan sebelum ini berkata, pelawaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu yang mahu semua parti politik Melayu bersatu perlu dilihat dari sudut positif dan bukannya melalui perspektif sempit.

“Ada yang terus mengeluarkan kenyataan kata tak mahu dan ada juga yang gesa beliau (Dr Mahathir) meminta maaf, kenapa tidak kita ambil positif dulu kerana bagi saya niatnya adalah betul sebagai seorang ayahanda dan ahli negarawan.

“Dalam ucapannya beliau menyatakan orang Melayu sekarang sudah berpecah yang mana mempunyai lebih empat dan enam parti, ini bermakna undi Melayu juga sudah berpecah,” Khairy dipetik sebagai berkata.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik orang Melayu.

Dr Mahathir berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.