Tiga lelaki, dua wanita ditahan memiliki dadah

Azhan (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan heroin yang berjaya dirampas.
Azhan (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan heroin yang berjaya dirampas.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis daerah ini berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam satu serbuan di sebuah kawasan tempat letak kereta berhadapan sebuah pasar raya di Jalan Bongsu Parit Sulong, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Polis Kontinjen (IPK) Johor itu berjaya menahan dua lelaki dan dua wanita.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kami berjaya menemui 10 bungkusan plastik lut sinar disyaki dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat 4.5 kilogram selain berjaya merampas dua kereta yang digunakan oleh suspek.

"Hasil soal siasat terhadap suspek turut membawa kepada tangkapan kedua iaitu seorang lelaki dalam satu serbuan di Parit Laman, Parit Sulong kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Menurutnya, nilai dadah yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM63,000 dan dipercayai diperolehi dari Johor Bahru serta boleh menampung keperluan lebih 6,000 penagih dadah di sekitar daerah ini.

"Hasil semakan rekod lampau juga mendapati dua suspek lelaki dan seorang suspek wanita mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala ujian air kencing mendapati tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita positif dadah.

"Suspek yang berumur di antara 30 hingga 45 tahun kini direman selama 7 hari bermula 4 Julai hingga 10 Julai 2019 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: