Kazakhstan berpotensi menjadi hab kewangan Islam

Kairat Kelimbetov
Kairat Kelimbetov
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Kewangan Antarabangsa Astana Kazakhstan (AIFC) berhasrat menjadi hab Kewangan Islam di Asia Tengah dan Kesatuan Ekonomi Eurasia, yang mempunyai gabungan penduduk lebih 200 juta.

Gabenor AIFC, Kairat Kelimbetov berkata, pusat itu telah mengenal pasti beberapa bidang berpotensi untuk dibangunkan, termasuk kewangan Islam, yang kini menyumbang kurang satu peratus daripada jumlah aset perbankan negara itu.

Bidang lain termasuklah pasaran modal, teknologi kewangan (fintech), pengurusan aset dan pengurusan kekayaan persendirian.

Beliau berkata Kazakhstan merancang membangunkan industri kewangan Islam untuk mewujudkan sumber pembiayaan alternatif bagi projek-projek negeri dan perbandaran, serta swasta.

Kelimbetov berkata AIFC telah menjalin kekerjasama dengan beberapa institusi Malaysia, termasuk Maybank dan institut penyelidikan Islam Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perundingan.

Pusat itu kini menugaskan ZICO Shariah yang berpangkalan di Malaysia, syarikat pembekal khidmat nasihat Syariah, untuk membangunkan pelan induk lima tahun menyeluruh untuk Kazakhstan membangunkan industri kewangan Islamnya.

"Antara matlamat strategik kerajaan Kazakhstan adalah untuk menjadikan negara itu sebagai perintis dan memainkan peranan utama (dalam kewangan Islam). Kami percaya pengalaman Malaysia dalam penerbitan sukuk sebagai contoh yang baik untuk kami.

"Kami mahu memainkan peranan penting di Kazakhstan dan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menerbitkan sukuk negara pertama di sini," katanya kepada media antarabangsa pada akhir konvensyen Astana Finance Days 2019 di Nur -Sultan, Kazakhstan, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Senarai institusi kewangan di bawah AIFC termasuk Al Hilal Bank yang berpangkalan di Abu Dhabi.

"Kami bekerjasama dengan Banque Misr dari Mesir dan kami sedang dalam proses bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membenarkan mereka menubuhkan pejabat cawangan di Kazakhstan," kata Kelimbetov.

Sementara itu, perunding utama ZICO Shariah, Profesor Datuk Dr Mohd Azmi Omar berkata rangka kerja yang sedang dibangunkan itu akan menjadi pelan induk khusus dan terperinci bagi pembangunan kewangan dan perbankan Islam di Kazakhstan dan AIFC.

"Rangka kerja itu juga bertujuan untuk membangunkan kapasiti dalaman AIFC dari segi melaksanakan dan menjayakan pelan induk berkenaan," katanya dalam pembentangan mengenai pelan induk kewangan Islam pada konvensyen tersebut.

Kira-kira 70 peratus daripada jumlah penduduk Kazakhstan beragama Islam, dan jika digabungkan dengan penduduk Asia Tengah, angkanya sekitar 80 juta.

Kira-kira 42 peratus daripada penduduk pula berusia antara 24 dan 54 tahun - yang menjadi pemacu utama pertumbuhan runcit.

"Menurut laporan Thomson Reuters, Kazakhstan menduduki tempat kelima sebagai destinasi pelaburan Islam dalam kalangan 57 negara anggota OIC.

"Kewangan Islam pada masa ini mewakili kurang satu peratus daripada jumlah aset perbankannya, dan kerajaan merancang meningkatkan kadar itu kepada 10 peratus menjelang 2025. Ini merupakan lonjakan yang besar yang memerlukan anjakan besar untuk mendorong kejayannya," kata Mohd Azmi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kewangan Pendidikan Antarabangsa BNM.

Beliau berkata rangka kerja itu akan memasukkan unsur yang sangat penting - integrasi industri halal dan kewangan Islam - yang ketinggalan di kebanyakan negara.

"Banyak negara membangun kewangan Islam tanpa melihat bagaimana kewangan Islam dapat menyokong industri halal dan sebaliknya.

"Mereka lupa mengenai industri halal, seolah-olah industri halal merupakan saluran sendiri," kata Mohd Azmi

Dilancarkan pada 2018 bermodelkan pusat-pusat yang sama di Singapura dan Dubai, AIFC menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya, menggunakan sekuriti British dan undang-undang korporat, dan menawarkan visa dan pengecualian cukai untuk pelabur kewangan global.

Ahli AIFC dikecualikan daripada cukai pendapatan korporat Kazakhstan, cukai pendapatan individu, cukai tanah dan cukai hartanah selama 50 tahun.

Pusat ini meliputi Mahkamah AIFC, yang bebas dalam kegiatannya dan berasingan daripada sistem kehakiman Kazakhstan, namun tidak mempunyai bidang kuasa terhadap prosiding jenayah dan pentadbiran.

Di samping itu, rakannya boleh meraih manfaat daripada perkhidmatan Pusat Timbang Tara Antarabangsa, yang mempunyai panel penimbangtara dan pengantara terkemuka di dunia, dan membolehkan alternatif bebas dan cepat kepada litigasi mahkamah.

Kelimbetov berkata Undang-undang Umum Inggeris - asas peraturan AIFC - dipilih kerana fleksibilitinya.

"Kebanyakan pusat kewangan yang paling berjaya di dunia beroperasi dalam bidang kuasa Common Law British kerana ia cepat menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran, dan pada masa yang sama menjamin keadilan dan kesaksamaan pelabur ketika membuat keputusan di mahkamah," katanya.

Dilhamkan oleh bekas Presiden Kazakhstani Nursultan Nazarbayev, AIFC dijangka menjadi pemangkin untuk menarik modal asing dan membawa pasaran saham Kazakhstan ke tahap pembangunan baharu.

AIFC juga telah menubuhkan Lembaga Penasihat Syariah Pusat, yang diketuai oleh pengasas dan pengerusi Amanie Advisor Sdn Bhd Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Selain Mohd Daud, Lembaga Penasihat Syariah lima anggota itu terdiri daripada ulama dari Kazakhstan, Arab Saudi, Bahrain dan Pakistan.

"Kazakhstan boleh belajar dari amalan terbaik dalam sektor kewangan Islam. Menerusi majlis baharu itu, Kazakhstan dapat mempercepat prosesnya untuk berjaya dalam industri," kata Mohd Daud kepada Bernama.

Astana Finance Days kedua, yang berlangsung dari 1 hingga 4 Julai, menghimpunka pakar dunia, ahli perniagaan, perkhidmatan awam dan akademik, pusat kewangan antarabangsa serta wakil syarikat yang berdaftar di AIFC. - Bernama