Tiga suspek samun bersenjata ditahan di Batu Caves

Aidi (tengah) menyaksikan penyerahan tugas antara Pemangku KPJKK Superintendan Mohd Aluwi Husain (kiri) kepada Ketua KPJKK Asisten Komisioner Noor Halim Nordin (kanan).
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis berjaya menyelesaikan dua kes samun bersenjata melibatkan sebuah kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam di daerah ini dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita di sekitar Selangor, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 20-an itu ditahan di hadapan Hotel Selayang di Batu Caves, Selangor kira-kira jam 11 pagi selepas disyaki melakukan jenayah sama di empat buah kedai di sekitar kawasan terbabit.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ketiga-tiga suspek ini dipercayai datang ke negeri ini semata-mata hendak melakukan jenayah dengan menyewa di hotel sekitar bandar raya ini.

"Kedua-dua kejadian dilaporkan berlaku di Chabang Tiga dan Ladang, di sini, antara jam 9 malam hingga 9.30 malam, kelmarin.

"Mereka dipercayai menggunakan sebuah kereta yang disewa di Serdang, Selangor untuk melakukan jenayah terbabit.

"Modus operandi yang digunakan bagi kedua-dua kes sama sahaja iaitu suspek wanita dari Sarawak ini akan masuk dahulu ke dalam kedai dan berpura-pura untuk membeli barang.

"Setelah itu, dua lagi suspek memakai topeng akan masuk dan menyerang pekerja yang bertugas menggunakan senjata pisau sebelum melarikan wang di kaunter pembayaran," katanya hari ini.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Mess Pegawai Kanan, Bukit Pak Apil di sini.

Aidi berkata, hasil ujian saringan awal kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kesemuanya positif pil kuda.

Sementara itu, Aidi berkata, indeks jenayah di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jelasnya, jenayah melibatkan kecurian harta benda, curi motosikal dan lain-lain kecurian masih lagi menjadi penyumbang kenaikan indeks jenayah.

"Daerah Kuala Terengganu, Besut dan Dungun pula antara tiga daerah yang agak 'panas' dan kini diberi tumpuan lebih berbanding daerah lain," katanya.

Majlis itu menyaksikan penyerahan tugas antara Pemangku KPJKK Superintendan Mohd Aluwi Husain kepada Ketua KPJKK Asisten Komisioner Noor Halim Nordin.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia