Tindakan tegas nelayan guna bom ikan: Shafie

Shafie
Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan tegas perlu diambil termasuk mengenakan hukuman penalti berat terhadap nelayan didapati menggunakan kaedah bom ikan untuk menangkap hasil laut di perairan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penggunaan bom ikan dalam kalangan nelayan di negeri ini sudah lama berlarutan, justeru tindakan tegas perlu diambil bagi membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

"Tindakan tegas harus diambil kepada mana-mana pihak terbabit dalam penggunaan bom ikan. Saya selaku ahli Parlimen Semporna juga sudah menyuarakan berulang kali mengenai perkara ini bagaimana (langkah) untuk mengatasinya.

"Kegiatan pengeboman ikan ini perlu ditegah dengan baik termasuk mengenakan hukuman penalti berat kepada pelakunya," katanya selepas Majlis Penyampaian Penajaan Pendidikan Petronas 2019, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas insiden meragut nyawa dua pelancong asing dan seorang warga tempatan ketika menyelam berhampiran Pulau Kulapuan, Semporna pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang semalam, ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan dibaling nelayan berhampiran lokasi mangsa menyelam.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, penggunaan bom ikan perlu disekat selain siasatan lanjut bagaimana nelayan memperoleh bom ikan juga seharusnya dilakukan dalam usaha menyelesaikan masalah itu secara konkrit.

Beliau juga meminta penduduk kampung memberi kerjasama memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai nelayan menjalankan aktiviti pengeboman ikan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, menangkap hasil laut menggunakan kaedah bom ikan bukan pendekatan memberi keuntungan jangka panjang berikutan ia mampu memberi kesan kepada ekosistem hidupan marin dan kesihatan manusia.

"Ini kerana, bahan dalam bom ikan mengandungi racun, ikan (ditangkap menggunakan kaedah bom ikan) akan termakan racun, kita pula akan makan ikan, dan ini (dikhuatiri) akan (menimbulkan) berbagai penyakit," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, penggunaan pam bot dalam kalangan nelayan bukanlah penyumbang utama kepada berleluasanya aktiviti pengeboman ikan di perairan negeri ini kerana pam bot hanyalah kemudahan untuk golongan itu menangkap hasil laut. - Bernama