Penarafan kredit kerajaan Malaysia diiktiraf semula

LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan menyambut baik keputusan S&P Global Ratings (Standard and Poor’s) pada 3 Julai lalu yang mengiktiraf semula penarafan kredit kerajaan Malaysia pada taraf A- dengan jangkaan stabil.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, penarafan kredit kerajaan Malaysia yang diiktiraf semula menunjukkan kenaikan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskan penarafan tersebut, terutama sekali apabila jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan dikurangkan.

Beliau berkata, pengekalan penarafan tersebut menunjukkan keyakinan syarikat penarafan kredit antarabangsa itu terhadap unjuran pertumbuhan Malaysia yang pesat, profil institusi negara yang baik, asas ekonomi yang kukuh serta pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan yang rapi.

Menurutnya, antara faktor utama pengekalan penarafan kredit kerajaan pada A- adalah prospek ekonomi Malaysia yang sihat, di mana Bank Dunia mengunjurkan ekonomi negara untuk tumbuh setinggi 4.6 peratus pada tahun ini, sementara kadar inflasi yang rendah dan stabil pada 0.2 peratus untuk bulan Mac, April dan Mei menggalakkan pertumbuhan perbelanjaan penggunaan swasta.

"Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memotong Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus mengurangkan kos pinjaman bagi pengguna.

"Kesannya dapat dilihat, antara lain daripada bilangan kenderaan yang dijual untuk tempoh Januari sehingga Mei 2019 telah meningkatkan sebanyak 13 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, pada masa yang sama, lencongan perdagangan yang berpunca daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat membolehkan pertumbuhan eksport Malaysia sekali lagi mengatasi unjuran pasaran.

Menurutnya, bagi bulan Mei 2019, eksport negara naik 2.5 peratus kepada RM84.1 bilion daripada RM82.1 bilion setahun lalu dan peningkatan tersebut mengatasi konsensus pasaran serendah 2.2 peratus seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg (Jadual 1).

Artikel Berkaitan:

Jadual 1 menunjukkan pertumbuhan eksport Malaysia berbanding konsensus pasaran seperti yang dilaporkan Bloomberg .
Jadual 1 menunjukkan pertumbuhan eksport Malaysia berbanding konsensus pasaran seperti yang dilaporkan Bloomberg .

"Pertumbuhan eksport yang berterusan ini meningkatkan lebihan dagangan negara untuk lima bulan pertama tahun 2019 sebanyak 4.3 peratus kepada RM56.8 bilion daripada RM54.5 bilion setahun lalu.

"Pelaburan langsung asing atau foreign direct investment (FDI) yang diluluskan bagi suku pertama tahun 2019 meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion setahun lalu. Pertumbuhan suku pertama ini dipacu oleh kenaikan FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan sebanyak 127 peratus kepada RM20.2 bilion berbanding RM8.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, S&P turut mengiktiraf usaha kerajaan untuk mengukuhkan semula keadaan kewangannya melalui pengurusan kewangan yang rapi termasuklah dalam menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan.

Beliau berkata, walaupun nisbah hutang langsung kerajaan berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) meningkat kepada 51.2 peratus pada 2018 daripada 50.1 peratus pada tahun 2017, hutang langsung hanyalah sebahagian daripada keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan.

Menurutnya, selain daripada hutang langsung, hutang dan liabiliti kerajaan mengambil kira komitmen jaminan kerajaan dan pajakan kewangan serta liabiliti lain seperti hutang 1MDB yang perlu dibiayai secara langsung oleh kerajaan sekarang.

Katanya, seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan berjaya mengurangkan keseluruhan hutang dan liabilitinya berbanding KDNK sebanyak 3.9 mata peratusan daripada 79.3 peratus berbanding KDNK pada 2017 kepada 75.4 peratus pada tahun lalu (Jadual 2).

Jadual 2 menunjukkan hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDNK
Jadual 2 menunjukkan hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDNK

Kementerian Kewangan katanya, yakin akan kemampuan kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 3.7 peratus berbanding KDNK pada tahun 2018 kepada 3.4 peratus untuk tahun ini.

"Pembaharuan institusi yang berterusan Jawatankuasa Pengurusan Hutang yang baru ditubuhkan akan membantu mengawal hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan, sambil memastikan pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan sentiasa mematuhi amalan antarabangsa yang terbaik.

"Selain itu, pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga melakukan langkah-langkah besar dalam memerangi korupsi, yang merupakan sebuah pembaharuan institusi yang dilihat sebagai kredit positif. Pada 1 Julai 2019, Parlimen meluluskan usul mewajibkan semua ahli parlimen, senator dan keluarga terdekat mereka mengisytiharkan aset masing-masing pada atau sebelum 1 Oktober 2019," katanya.

Guan Eng berkata, kestabilan ekonomi serta kekukuhan institusi kewangan negara merupakan antara pemacu utama dalam pembangunan Malaysia dan dalam pengekalan penarafan kredit kerajaan yang tinggi pada A- atau A3.