X

Kindly register in order to view this article
!

Durian kampung pun jadi sasaran pencuri

Mohd Tamizi membuat rondaan di dusun duriannya di Jerung Surau.
A
A

MARANG - Walaupun hanya durian kampung namun dek kerana isinya setaraf durian berkualiti tinggi kawasan tanaman durian sekitar Jerung Surau di sini menjadi sasaran pencuri setiap tahun.

Pemilik dusun, Mohd Tamizi Mamat, 31, berkata, untuk mengelak durian dicuri, dia membina pondok untuk tidur dalam dusun miliknya dan juga dusun yang dipajak.

"Apabila durian mula gugur, dusun mesti dijaga dan diawasi siang dan juga malam. Jika tidak, tiada apa yang diperoleh, semuanya akan diambil orang.

"Dusun durian di sini tidak berpagar dan memang mudah dimasuki oleh sesiapa sahaja untuk mengambil buahnya, termasuk orang yang tidak ada kaitan.

"Sebab itu pemilik dusun akan memastikan kawalan berpanjangan siang malam sehinggalah ke penghujung musim sambil mengutip hasilnya," katanya, hari ini.

Mohd Tarmizi berkata, dusun durian milik keluarganya termasuk yang dipajaknya itu seluas lebih empat hektar dan mempunyai lebih 50 pokok durian.

"Saya dibantu rakan-rakan menjaga dusun pada waktu malam sehingga pagi malah terpaksa mengeluarkan modal tambahan mengupah orang lain untuk menjaga dusun yang dipajak," katanya.

Beberapa lagi pemilik dusun durian yang ditemui turut mengakui kejadian kehilangan durian yang berlaku pada waktu malam dan awal pagi berdasarkan pengalaman mereka pada tahun sebelumnya.

Abdullah Ghani, 46, berkata, setiap tahun kejadian curi durian berlaku ekoran faktor peningkatan permintaan terhadap raja buah dari Jerung Seberang dan sekitarnya kerana buahnya yang enak.

"Ada durian isinya kuning dan lemak. Ada pula isinya putih. Apabila dimakan rasanya pahit-pahit manis. Ramai yang suka. Selain itu ada yang rasa lemak manis.Yang pasti semuanya enak.

"Jualan pula dibuat secara timbang. Kadar harga bergantung kepada saiz dan jenis buah. Harga jualan dari dusun kepada peraih antara RM8 hingga RM10 sekilogram, atau lebih," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!