Kimma masih setia sokong Umno

Zainal Abidin (kanan) melihat Jailani (dua, kiri) menerima Pengiktirafan Kehormat daripada Kimma Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Zainal Abidin (kanan) melihat Jailani (dua, kiri) menerima Pengiktirafan Kehormat daripada Kimma Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) antara parti politik yang masih setia menyokong Umno ketika parti itu berhadapan pelbagai cabaran termasuk beberapa rakan parti komponen telah keluar daripada BN.

Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Zainal Abidin Mohd Rafique berkata, walaupun bukan komponen BN, Kimma masih sudi bekerjasama dengan Umno menjadi pembangkang yang proaktif dalam semak dan imbang pentadbiran kerajaan baharu.

"Kerjasama antara Umno dan Kimma Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu ditingkatkan bagi mewujudkan sokongan dan perpaduan antara satu sama lain," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Badan Perhubungan Kimma Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Zainal berkata, Kimma perlu membantu bersama menambat hati pengundi India Muslim untuk mendapat sokonganmereka bagi menghadapi PRU15.

“Usaha Kimma Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membantu golongan kurang berkemampuan serta memberi ruang dan peluang kepada mereka membuka perniagaan antara langkah yang harus dipuji,” katanya.

Turut hadir Ketua Cawangan Umno Jalan Elton yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bukit Bintang, Jailani Abdul Aziz dan Pengerusi Kimma Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohaideen Abdul Kadar Mohd Maideen@ Asraf.

Dalam majlis sama Jailani diberi Pengiktirafan Kehormat atas tugas-tugas khasnya dalam membantu badan bukan kerajaan (NGO) India Muslim sebelum ini.

Pasca PRU14 lalu menyaksikan banyak parti komponen BN mula beralih arah dan memilih untuk bersendirian malah tidak kurang pula menubuhkan gabungan sendiri khususnya di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Antaranya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mengumumkan keluar daripada perikatan BN pada 12 Jun lalu serta menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Langkah keluar BN juga turut diikuti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada 23 Jun lalu selepas gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya dalam PRU14.