KKM guna nyamuk aedes ada wolbachia tangani kes denggi

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim pada pelancaran 'KICK-OFF' Pelepasan Telur Nyamuk Aedes berWolbachia di Aparment Sri Rakyat Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim pada pelancaran 'KICK-OFF' Pelepasan Telur Nyamuk Aedes berWolbachia di Aparment Sri Rakyat Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan kaedah pelepasan nyamuk aedes mengandungi bakteria wolbachia secara berperingkat di seluruh negara bagi mengawal dan menangani kes denggi yang meningkat saban tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah ini susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti kes denggi di Selangor sejak Mac 2017 yang menunjukkan penurunan kes sebanyak 50 hingga 80 peratus setiap lokaliti.

Katanya langkah itu menjadikan Malaysia negara kedua di dunia selepas Australia menggunakan kaedah berkenaan sebagai pencegahan dan kawalan kes denggi.

"Pelaksanaan kaedah ini dipilih bagi menangani beban kes denggi dan mengurangkan kebergantungan kepada kawalan nyamuk dengan menggunakan racun serangga,” katanya selepas majlis pelepasan telur nyamuk aedes mengandungi wolbachia di Apartment Sri Rakyat, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pada tahun 2019, sebanyak 62,421 kes denggi dilaporkan dari 1 Januari hingga 29 Jun, berbanding 32,435 kes bagi tempoh sama pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 29,986 kes (92.4 peratus).

"Jumlah kumulatif kematian denggi bagi tempoh sama tahun ini adalah sebanyak 93 kematian, berbanding 53 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Dzulkefly berkata sebanyak 180 bekas yang setiap satunya mempunyai 150 bekas kecil berisi telur nyamuk mengandungi wolbachia itu akan dibekalkan kepada 11 lokaliti terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada fasa pertama program itu.

"Pelaksanaan fasa kedua dan seterusnya akan diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat mulai September ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dzulkefly menegaskan masyarakat hendaklah menitikberatkan aspek kebersihan persekitaran dan aktiviti memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dengan tumpuan pembersihan sekurang-kurangnya 10 minit pada setiap minggu bagi menangani kes denggi.

Mengulas kematian seorang wanita akibat penyakit asthma di Pasir Gudang semalam, Dzulkefly berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kesihatan Johor sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. - Bernama