Anak Razif Sidek idam ikut jejak Chong Wei

- Foto Instagram Muhammad Fazriq
- Foto Instagram Muhammad Fazriq
A
A
A

SELEPAS mencipta nama di pentas antarabangsa, bintang muda negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif memasang impian besar untuk mengikut jejak langkah Datuk Lee Chong Wei.

Segar daripada kejayaan merangkul gelaran pada Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun di Jepun baru-baru ini, anak bongsu kepada legenda beregu lelaki negara, Datuk Razif Sidek itu, mengakui mengimpikan untuk meraih kejayaan sepertimana pernah dinikmati Chong Wei.

Namun, pemain berusia 15 tahun itu berkata bagi merealisasikan hasrat itu, beliau perlu berusaha keras dan menampilkan aksi terbaik pada setiap kejohanan disertainya.

“Untuk mencapai tahap setanding Chong Wei, saya juga perlu menimba lebih banyak pengalaman dan meraih kejayaan demi kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Bukan mudah menjadi pemain nombor satu negara pada usia yang masih muda, saya baru berusia 15 tahun. Saya perlu menyusun jadual saya sebaik mungkin, dan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun saya akan cuba menjadi wakil negara (di peringkat senior).

“Saya mungkin boleh menjadi seperti Chong Wei jika saya terus mempamerkan aksi terbaik pada setiap kejohanan,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Prix Final di Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan (NSCRC) di sini.

Muhammad Fazriq mara ke pentas final kejohanan itu hari ini, selepas menumpaskan rakan sepasukan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Anson Cheong Yan Feng, 21-16, 21-18 pada aksi separuh akhir semalam.

Pemain muda itu menjadi sebutan antara bintang muda yang bakal menggantikan legenda badminton negara, Chong Wei, setelah merangkul kejuaraan kesembilannya di peringkat remaja di Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun, selepas menumpaskan Alex Lenier, 21-16, 21-10 pada final di Jepun, 30 Jun lepas.

Artikel Berkaitan:

Mengenai perancangan masa depan, Muhammad Fazriq mensasarkan untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik pada suatu hari nanti.

Sementara itu, Razif berkata beliau tidak menaruh harapan terlalu tinggi kepada anaknya itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Chong Wei selaku pemain nombor satu negara, dalam tempoh singkat kerana Muhammad Fazriq masih muda dan perlu menimba lebih banyak pengalaman.

"Walaupun saya lihat beliau mempunyai ciri-ciri untuk menjadi pemain bertaraf dunia, buat masa ini saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, kerana beliau masih muda dan perlu menimba lebih banyak pengalaman terutama di pentas pertandingan.

“Saya berharap dia dapat mengekalkan prestasi, itu amat penting,” katanya.

Razif turut berharap pada masa hadapan, Muhammad Fazriq dapat mengecapi kejayaan untuk muncul juara kejohanan All England, Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik serta Piala Thomas.

“(pencapaian) itu yang saya harap dan cita-citakan daripada beliau,” katanya. - Bernama