KRT perlu perkasa agenda semarak perpaduan di akar umbi

Dr Md Farid Md Rafik
Dr Md Farid Md Rafik
A
A
A

MUAR - Agenda memperkasakan permuafakatan masyarakat berbilang kaum di peringkat akar umbi perlu dimainkan peranan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai ejen kerajaan dalam menyemarakkan perpaduan di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata berkata KRT dilihat sebagai tunjang utama perlu berpegang kepada nilai yang boleh menyatukan masyarakat supaya keharmonian yang ada terpelihara dan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Beliau berkata KRT turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan serta mengekalkan keharmonian dalam masyarakat dan disaran supaya lebih aktif menjalankan program diperingkat akar umbi di kawasan masing-masing.

"Pengerusi, ahli jawatankuasa KRT yang ada di seluruh negara perlu menggerakkan usaha ini dengan menyemarakkan lagi aktiviti kemasyarakatan yang mampu menambah nilai perpaduan dan nilai-nilai murni kaum yang terdapat di negara ini.

"Usaha menerapkan perpaduan dalam diri anak kecil juga seharusnya dipertingkatkan oleh KRT supaya kerjasama dan permuafakatan di kalangan rakyat berbilang kaum sentiasa terpelihara," katanya ketika merasmikan majlis Tautam Muhibah Semarak Perpaduan peringkat Zon Selatan (Johor dan Melaka) di Sungai Sendok, Sungai Mati, Muar, di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ( JPNIN) Datuk Baharin Idris dan Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr S Ramakrishnan.

Majlis anjuran JPNIN itu turut dihadiri lebih 1,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum meraikan sambutan Aidilfitri yang disertai KRT-KRT daripada kedua-dua negeri.

Sementara itu, Dr Md Farid berkata sambutan seumpama itu diadakan di seluruh negara mengikut zon yang memperlihatkan semangat ukhwah dan kerjasama di akar umbi dalam meraikan kepelbagaian.

Artikel Berkaitan:

"Perayaan-perayaan yang disambut dinegara ini menunjukkan budaya yang cukup murni seluruh malaysia sehinggakan masyarakat luar negara kagum dengan sambutan yang ada di Malaysia dan inilah yang perlu diteruskan dalam usaha kita mengeratkan silaturahim," katanya.- Bernama